CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 62892|Reply: 0

[Pulau Pinang] Kontraktor jalankan kerja menyelamat feri ikonik tarik diri

[Copy link]
Post time 19-10-2024 01:51 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 19-10-2024 01:53 PM

Kontraktor jalankan kerja menyelamat feri ikonik tarik diri

OlehSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

19 Oktober 2024 01:38pm




Soon Hin (kiri) dan salah seorang kakitangan Printhero melawat Feri Pulau Pinang pada Sabtu.




GEORGE TOWN - Kontraktor yang dilantik oleh syarikat yang menjalankan Projek Muzium Feri, Printhero Merchandise Sdn Bhd (Printhero) untuk melaksanakan kerja-kerja menyelamat feri ikonik yang sedang diubahsuai sebagai Muzium Feri Pulau Pinang telah menarik diri.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, syarikat kontraktor tersebut berbuat demikian pada 16 Oktober lalu.

Menurutnya, penarikan diri itu dibuat selepas telah berusaha berkali-kali untuk menyelamatkan feri berkenaan daripada terus senget dan tenggelam.

"Pihak kontraktor telah menarik diri setelah berusaha kali terakhir sehingga jam 10 malam, 16 Oktober lalu. Semua peralatan menyelamat seperti pam, hos dan sebagainya telah dibawa keluar dari feri bagi mengelakkan hanyut ketika air pasang.



]
Soon Hin (tengah) sedang mendengar penjelasan daripada pihak Printhero mengenai keadaan terkini Feri Pulau Pinang.




"Cabaran yang dihadapi adalah kerja-kerja tersebut hanya boleh dilaksanakan ketika air surut sahaja bagi memastikan paras air laut adalah di bawah 'fender' atau dek feri.

"Selain itu, pihak kontraktor perlu memastikan air laut tidak memasuki semula ruang enjin melalui mana-mana lubang atau bukaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.


Tambah Soon Hin, feri tersebut telah berjaya ditegakkan pada jam 7 petang, 15 Oktober lalu ketika air surut setelah kerja-kerja mengepam air dilaksanakan sejak pagi.

"Bagaimanapun, akibat kesuntukan masa bagi pihak kontraktor melaksanakan pemeriksaan menyeluruh dan menutup mana-mana lubang yang boleh dikenalpasti, feri kembali senget pada jam 8 malam apabila air mula memasuki semula ruang enjin," katanya.

Susulan daripada itu, Printhero sedang mempertimbangkan penggunaan pelampung bagi mengangkat dan menstabilkan feri berkenaan, seterusnya kerja-kerja mengenalpasti serta menampal kebocoran dilaksanakan.

"Feri tersebut seterusnya akan dibawa ke lokasi akhir Feri Muzium Terapung di Tanjung City Marina (TCM). Kerja-kerja memasang cerucuk dan pemasangan meter elektrik di lokasi Feri Muzium Terapung telah selesai dilaksanakan.


"Pihak Printhero juga akan melaksanakan beberapa kerja akhir di TCM bagi persediaan menerima feri berkenaan.

"SPPP akan sentiasa memantau keadaan terkini Feri Muzium Terapung dan menggandakan usaha untuk memastikan Feri Pulau Pinang ini berjaya direalisasikan sebagai Muzium Feri Pulau Pinang," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, pada 6 Oktober lalu, Printhero mendapati feri berkenaan senget ketika berada di dermaga.

"Hasil pemeriksaan mendapati bahawa air laut telah memasuki ruang enjin. Tindakan segera telah diambil oleh pihak Printhero bagi melantik kontraktor bagi kerja-kerja mengepam air dan membuat pemeriksaan lanjut untuk mengenalpasti punca kebocoran.

"Pihak Bomba Penang Port Sdn Bhd (PPSB) juga digerakkan untuk turut membantu kerja-kerja mengepam air keluar dari ruang enjin feri tersebut selain daripada bantuan teknikal marin yang diberikan oleh SPPP dan PPSB," jelasnya.

Ujar beliau, sebuah bot tunda juga digunakan bagi menstabilkan feri berkenaan sepanjang kerja-kerja dilaksanakan.

"Kerja-kerja mengepam air yang dilaksanakan oleh kontraktor lantikan Printhero serta dibantu oleh pasukan Bomba PPSB tidak berjaya menstabilkan feri. Feri berkenaan berisiko tenggelam di dermaga sekiranya tidak dipindahkan segera ke lokasi yang lebih cetek.

"Justeru, feri berkenaan telah ditunda ke lokasi cetek (kedalaman sekitar 2 meter) berdekatan gudang di hadapan SPCT sekitar jam 3 pagi, 7 Oktober. Tindakan ini bagi mengelakkan feri tenggelam di dermaga yang mempunyai kedalaman kira-kira 8 meter.

"Sekiranya ia berlaku, pasti lebih menyukarkan kerja-kerja menyelamat di samping dermaga berkenaan tidak lagi boleh digunakan untuk operasi kapal lain," tambahnya.


Soon Hin ketika dihubungi berkata, dengan usaha semua pihak terutamanya Printhero, feri tersebut telah ditolak ke tepi jeti ketika air pasang pada malam Jumaat.

"Dengan menggunakan semua tenaga dan bantuan bot, feri tersebut telah ditolak ke dok semasa air pasang.

"Ia bagi membolehkannya disandarkan di jeti dengan stabil. Hal ini boleh dikatakan, feri itu kini sudah berada di luar daripada situasi berbahaya," katanya.

Sebelum ini, kebocoran pada bahagian bawah sehingga menyebabkan air memasuki ruangan enjin merupakan punca sebuah feri ikonik yang sedang dalam proses pengubahsuaian berada dalam keadaan senget dan hampir tenggelam.

Feri yang bernama Feri Pulau Pinang itu sedang diubahsuai untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang.

Feri tersebut didapati berada dalam keadaan senget sejak 6 Oktober lalu ketika berada di Dermaga South Inner Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

https://www.sinarharian.com.my/article/691940/edisi/utara/kontraktor-jalankan-kerja-menyelamat-feri-ikonik-tarik-diri


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-11-2024 10:47 PM GMT+8 , Processed in 0.493102 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list