Kangar: Selepas lebih empat hari bertarung nyawa akibat melecur teruk, seorang mangsa kebakaran bot nelayan di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, Khamis lalu meninggal dunia hari ini.
Nur Azman Abu, 45, yang melecur hampir 88 peratus badan menghembuskan nafasnya terakhir pada 8 pagi tadi di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, punca kematian Nur Azman yang ditidurkan sejak Jumaat lalu adalah disebabkan luka lecur yang parah di seluruh badan.
"Seorang lagi rakan mangsa yang turut terbabit dalam kejadian itu masih dirawat di HTF," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam kejadian jam 11.55 malam Khamis lalu, Nur Azman dan rakannya Mohdmad Bakri Idham, 54, melecur disambar api selepas bot fiber dinaiki terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis.
Ketika kejadian, mangsa sedang bersiap untuk ke laut menangkap ikan dengan memastikan minyak, bateri dan kelengkapan bot yang lain lengkap sewaktu bertolak ke laut.
Namun apabila mangsa membuka penutup ruangan tempat simpan bateri, secara tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran.
Api dari letupan berkenaan menyambar kedua-dua mangsa mengakibatkan mangsa terbakar dan mangsa dihantar ke HTF untuk menerima rawatan.