Jitra: Polis sudah memanggil pelajar lelaki sebuah universiti yang didakwa terbabit
menipu badan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM) susulan laporan polis yang dibuat, semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, bagaimanapun pihak polis tidak membuka kertas siasatan berikutan pelajar terbabit sudah pun memulangkan wang berkenaan.
Beliau berkata, sebelum ini tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu dan pihaknya menyerahkan kepada pihak universiti berkenaan untuk melakukan siasatan dalaman.
"Pelajar ini kita sudah panggil," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, CSM membuat laporan polis semalam selepas mendakwa ditipu seorang pelajar lelaki sebuah universiti di utara negeri ini kononnya dia memerlukan wang untuk membayar yuran pengajian.
Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, pelajar berusia 20-an memperkenalkan dirinya sebagai Lim dan menghubunginya pada Ahad lalu untuk membantunya mendapatkan dana bagi membiayai pengajiannya berjumlah RM5,000 dengan alasan keluarganya tidak berkemampuan.
Katanya, pelajar terbabit juga memberi alasan yang dia akan dibuang daripada universiti berkenaan jika dia tidak membayar yuran terbabit dan hasil maklumat yang diterima, pelajar itu dipercayai terbabit dalam perjudian dalam talian.