PIC tunggu hasil laporan masalah selut, air berkeladak di Pantai Esen
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Oktober 25, 2024 @ 8:50am [email protected]
Keadaan pantai yang berlumpur ketika tinjauan di Pantai Esen, Permatang Damar Laut, didakwa penduduk dan nelayan berlaku sejak lebih sedekad lalu, namun semakin teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh pelbagai faktor. - Foto NSTP/Danial Saad
GEORGETOWN: Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) masih menunggu hasil laporan persampelan Pantai Esen di Permatang Damar Laut, di sini, selain mendapat pandangan daripada pakar dalam pelbagai bidang termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang terbabit dalam kajian sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus, berkata pihaknya komited bagi mengenal pasti punca fenomena itu dengan lebih mendalam dan akan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan cadangan pakar bagi menangani isu selut.
Beliau berkata PIC sudah melawat Pantai Esen semalam bagi meninjau keadaan semasa kawasan itu.
Katanya, lawatan itu dibuat selepas pihaknya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan yang diadakan di Dewan Unit Sungai Batu, Teluk Kumbar.
"Urusetia mengesyorkan supaya PIC melawat Pantai Esen dan Unit Permatang Tepi Laut bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai situasi semasa," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Sementara itu, penduduk Jaffar Osman, 66, berkata satu surat mengenai pencemaran pesisir pantai dan sekitar kawasan Permatang Damar Laut dihantar kepada Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar di pejabatnya di Putrajaya oleh wakil penduduk, M Annathurai menerusi e-mel Selasa lalu.
"Kandungan surat itu menggesa tindakan daripada pihak terbabit kerana masalah berkenaan memberi tekanan emosi serta menyebabkan persekitaran tidak sihat selain mengganggu ketenteraman orang awam.
"Ia dipercayai berpunca daripada projek tambakan pulau berhampiran dan surat berkaitan berkenaan masalah itu akan dihantar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang tidak lama lagi bagi menggesa tindakan yang sama," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu media melaporkan mengenai pantai 'permata tersembunyi' negeri kini dicemari masalah lumpur selut dan berkeladak sejak lebih dua bulan lalu dipercayai berpunca daripada kerja projek Pulau Silikon.
Kawasan berkenaan juga berbau busuk dan penduduk mendakwa siput yang banyak di kawasan itu kerap ditemukan mati.
Satu laporan polis juga dibuat penduduk di Balai Polis Batu Maung, Isnin lalu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1315634/pic-tunggu-hasil-laporan-masalah-selut-air-berkeladak-di-pantai-esen
|