Bayan Lepas: Mangsa lecur terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu, di sini, berhasrat mahu bertemu dengan pemain kebangsaan dan Selangor FC, Muhammad Faisal Halim atau Faisal Halim.
Hasrat Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 13, itu disampaikan ibunya Suhana Samsudin, 38.
Katanya, sepanjang hampir setahun menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), Mohd Dawisy Zarif yang meminati bola sepak tetap mengikuti perkembangan sukan itu.
"Sebelum kejadian, Mohd Dawisy Zarif memang bermain bola sepak mewakili sekolah dalam pelbagai kejohanan.
"Ketika terima rawatan, dia dapat tahu mengenai kejadian yang menimpa pemain bola kesayangannya menerusi berita dalam talian dan terkejut dengan keadaan itu.
"Sejak itu, dia juga sering menitipkan kata-kata semangat kepada Faisal di Instagram walaupun keadaannya juga belum pulih," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Suhana berkata, ketika gambar Faisal atau Mickey yang menghadiri sidang media kali pertama selepas kejadian disimbah asid, Mohd Dawisy Zarif sering menganggap nasib yang menimpa mereka hampir sama.
Katanya, bahagian kulit Mohd Dawisy Zarif yang melecur juga kelihatan seperti Faisal dan perlu mengenakan pakaian khas ketika berada di luar rumah.
"Dia selalu bertanya mengenai keadaan kulit mereka yang hampir serupa, namun Faisal sudah semakin baik cuma Mohd Dawisy Zarif sedang pulih.
"Saya harap jika Faisal sudi bertemu Mohd Dawisy boleh menitip kata semangat kerana anak saya juga baharu sahaja dapat kekuatan ke sekolah dan bermain bola sepak," katanya.