Edited by sfhzuraz at 28-10-2024 12:45 AM
Akta 852: KKM ada masa mencukupi laksanakan penguatkuasaan pendidikan hingga April 2025 - Lukanisman
Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 27, 2024 @ 9:00pm [email protected]
Lukanisman (kanan) ketika mengadakan Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan operasi bersepadu penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) Peringkat Pulau Pinang di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD
GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) ada masa mencukupi untuk melaksanakan penguatkuasaan pendidikan larangan mempamerkan produk tembakau melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), hingga April tahun depan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata penguatkuasaan pendidikan kepada peniaga dan masyarakat dilakukan supaya pihak terbabit bersedia untuk mematuhi tatacara pameran produk merokok.
Selain itu, katanya, KKM juga akan mengadakan sesi libat urus lebih komprehensif.
"Dari 1 Oktober lalu hingga semalam, sebanyak 45,666 premis telah dilawati membabitkan 57,856 penguatkuasaan pendidikan di 10 negeri.
"Sepanjang tempoh itu, 852 notis di kawasan larangan merokok telah dikeluarkan, selain 16 notis kepada kanak-kanak dan enam premis perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) Peringkat Pulau Pinang di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama, di sini, hari ini.
Akta 852 dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu bagi mengurangkan kesan buruk amalan merokok, termasuk aktiviti pemasaran serta promosi tidak beretika yang menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1316659/akta-852-kkm-ada-masa-mencukupi-laksanakan-penguatkuasaan-pendidikan
|