Langkawi: Kedatangan pelancong ke Langkawi direkodkan seramai 2.1 juta orang pada suku ketiga tahun ini sekali gus menyaksikan perkembangan positif industri pelancongan di pulau bebas cukai itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hami berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran tiga juta kedatangan pelancong menjelang akhir tahun ini.
"Langkawi menerima 2.1 juta pelancong domestik dan antarabangsa sejak Januari hingga September lalu, iaitu kira-kira 75 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.
"Menerusi pelbagai inisiatif termasuk 22 penerbangan terus dari Poland ke Langkawi bermula hari ini hingga Mac tahun depan, angka (kedatangan pelancong) akan terus meningkat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Haslina mengetuai majlis sambutan ketibaan 275 penumpang menaiki penerbangan sewa khas sulung LOT Polish Airlines dari Poland ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Dr Yasmeen Yasim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P Manoharan dan Pegawai Daerah Langkawi Mohamad Subhi Abdullah.
Sementara itu, Manoharan berkata, Tourism Malaysia menyokong penuh langkah LADA bekerjasama dengan Agensi Pelancongan ITAKA di Poland dalam usaha membawa masuk lebih ramai pelancong dari Eropah Timur .
"Usaha ini diyakini memberi impak positif kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion," katanya.