Bukit Mertajam: Beli minyak masak paket satu kilogram (kg) daripada peruncit dan pemborong kemudian gunting dan isi ke dalam tangki IBC sebelum dijual kepada individu yang menjalankan perniagaan berskala besar.
Itu modus operandi yang dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang ketika membuat serbuan di sebuah stor haram di Permatang Pauh, di sini jam 12.11 tengah hari.
Dalam serbuan itu, tiga warga Myanmar iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an sedang menggunting paket minyak masak untuk diisi ke dalam tangki IBC.
Pengarah KPDN negeri S Jegan, berkata serbuan itu dilaksanakan susulan risikan yang dijalankan pihaknya sejak satu bulan lalu.
"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas stor berkenaan menemui kira-kira 2,000 kilogram (kg) minyak masak yang mana 720 kg sudah dipotong paketnya dan dimasukkan dalam tangki IBC manakala bakinya iaitu 1,280kg masih di dalam paket sedia bungkus.
"Berdasarkan siasatan awal, minyak masak ini dibeli daripada peruncit serta pemborong sekitar yang kemudian dikumpulkan di stor ini sebelum paketnya dipotong dan diisi ke dalam tangki IBC.
"Minyak masak itu kemudian disyaki dijual kepada pihak 'big level' membabitkan perniagaan berskala besar seperti restoran dan tidak mustahil untuk kegunaan industri," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Katanya, tiga pekerja warga Myanmar itu ditahan untuk membantu siasatan dan kesemua minyak masak turut disita bagi tindakan lanjut.
Jegan berkata, stor haram terbabit dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
"Namun, berdasarkan temu bual terhadap ketiga-tiga warga asing terbabit mendakwa baharu sehari bekerja di situ.
"Sebelum ini, mereka bekerja di kedai runcit berhampiran dan semakan mendapati masing-masing memiliki dokumen perjalanan sah, malah mempunyai permit kerja sementara dalam sektor peruncitan.
"Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mencari majikan mereka selain mengenal pasti sama ada terdapat pembabitan pihak lain dalam aktiviti terbabit meliputi pemborong, peruncit atau pengilang," katanya.