KUCHING: Teater Muzikal Laila Majnun buat julung kalinya dipentaskan di Auditorium Toh Puan Hajah Norkiah, Sekolah Seni Malaysia Sarawak pada 23 dan 24 November ini.
Teater muzikal hasil karya Zulfadly Kipli itu mengisahkan cinta abadi tragis Laila-Qaish yang penuh dengan halangan dan dugaan.
Pementasan diterajui barisan pelakon Sarawak yang berbakat besar Heizlan Khan, Haneem Muhmmad, Hasanah Hashim, Hazis Wahab dan Haslina Hasbi.
Ia bukan sahaja membuka ruang mereka menunjukkan kebolehan, tetapi juga memperkukuh perkembangan industri teater dan seni di Sarawak.
Jurucakap penganjurnya berkata, pementasan itu bukan sekadar hiburan, sebaliknya mengetengahkan kisah klasik ke pentas moden agar masyarakat dapat menghayati nilai cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang dibawa oleh kisah Laila dan Qaish.
“Persembahan dijadualkan bermula 8 malam, dengan tiket pula dijual RM15.
“Pembelian tiket boleh dilakukan secara dalam talian di www.ticket2u.com.my atau melalui pautan di laman media sosial rasmi Sang Rawi,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi Cik Jihan di talian 014-571488.
|