Jenazah Siti Zulaila, bapa sudah dituntut
Oleh Nur Izzati Mohamad - November 8, 2024 @ 9:22pm[email protected]
Keratan berita disiarkan BH Online.
GEORGETOWN: Jenazah dua beranak mangsa tikaman seorang lelaki di Ayer Itam, semalam, sudah dituntut keluarga selepas proses bedah siasat selesai di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini.
Mayat Zulkifli Ibrahim, 62, dan anak perempuannya, Siti Zulaila, 30, dibedah siasat sejak jam 9 pagi sebelum jenazah mereka dituntut kira-kira jam 7.20 malam tadi.
Difahamkan, jenazah dua beranak itu akan disembahyangkan di Masjid Tuan Guru dan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Kariah Tanjong Tokong selepas solat isyak.
Sebelum ini, media melaporkan dua beranak itu maut disyaki ditikam seorang lelaki di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, tengah hari semalam.
Punca insiden itu dipercayai kerana mangsa wanita dikatakan menolak cinta suspek.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa wanita itu baru pulang dari tempat kerja sebelum didatangi suspek yang bersenjatakan pisau dan menikamnya.
Bapa mangsa yang menyedari kejadian itu cuba meleraikan tindakan suspek tetapi turut ditikam.
Suspek kemudian dikatakan mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dikejarkan ke HPP untuk rawatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, dipetik berkata suspek berumur 32 tahun itu kini direman selama tujuh hari hingga 14 November depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1321453/jenazah-siti-zulaila-bapa-sudah-dituntut
|