SPRM ambil keterangan bekas pegawai khas Najib
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - November 8, 2024 @ 10:44pm[email protected]
Foto hiasan
ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah hari ini, selesai mengambil keterangan bekas pegawai khas mantan perdana menteri berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada seorang pendakwah selebriti.
Bekas pegawai kepada Datuk Seri Najib Razak berusia 37 tahun itu, dilaporkan hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah di sini, semalam.
Sumber memaklumkan, bagaimanapun dia dibebaskan pagi tadi, selepas selesai memberikan keterangan bagi kes yang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Rabu lalu, SPRM Kedah menahan reman tiga individu termasuk seorang aktivis politik kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang pendakwah selebriti konon bagi membantu menyelesaikan kes penggubahan wang haram (AMLA) yang sedang dalam siasatan polis.
Kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan pada Selasa lalu, dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Bedong dan di Pejabat SPRM Kedah.
Mereka dipercayai secara bersubahat meminta wang sebanyak RM150,000 daripada pendakwah terbabit, namun hanya menerima RM20,000 secara tunai.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1321466/sprm-ambil-keterangan-bekas-pegawai-khas-najib
|