'Master chef' dadah RM3 juta antara lima sekawan ditahan
Oleh Zuhainy Zulkiffli - November 11, 2024 @ 12:10pm[email protected]
Khaw Kok Chin (dua, kanan) menunjukkan rampasan dadah pil serta serbuk ekstasi seberat 13.99 kilogram, syabu 6.03 kilogram dan ketamin 4.99 kilogram semuanya dianggarkan bernilai RM3 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pulau Pinang. - Foto PDRM
GEORGETOWN: Polis membongkar sindiket pengedaran dan makmal dadah bernilai RM3 juta susulan penahanan lima lelaki menerusi tiga serbuan di sekitar Pulau Pinang, Rabu lalu.
'Lima sekawan' itu juga dipercayai menjadi pembekal kepada sindiket pengedaran dadah di Kuala Lumpur yang dibongkar polis pada Ogos lalu dengan rampasan dadah bernilai lebih RM21 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata terdahulu tiga suspek berusia antara 32 hingga 54 tahun ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah semi-D di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini.
Pemeriksaan mendapati rumah yang disewa dijadikan makmal dadah berikutan penemuan pelbagai jenis dadah, bahan kimia serta peralatan bagi pemprosesan bahan terlarang berkenaan.
"Semakan lanjut mendapati suspek berusia 32 tahun itu pakar dalam penghasilan dadah manakala dua lagi yang ditahan bersama adalah pembantunya.
"Susulan itu, polis menahan suspek keempat berusia 59 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Ayer Itam di sini manakala suspek kelima, 46 tahun, ditahan di sebuah kedai Jalan Yeoh Guan Seok, di sini.
"Menerusi operasi ini, kita merampas dadah jenis serbuk ekstasi, syabu dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM3 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Turut disita ialah aset sindiket bernilai RM89,000 termasuk dua kereta jenis Toyota Hilux dan Hyundai Accent serta motosikal jenis Skuter SYM JetX dengan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bernilai RM3.1 juta.
Mengulas lanjut Kok Chin berkata modus operandi lima rakan itu adalah menjadikan rumah sewa sebagai makmal pemprosesan dan stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Sindiket berkenaan aktif sejak pertengahan tahun ini dan mereka dipercayai mempelajari cara penghasilan dadah menerusi media sosial selain ada antara mereka yang menjadi penagih tegar.
"Semakan lanjut mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala empat daripada suspek positif dadah.
"Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1322349/master-chef-dadah-rm3-juta-antara-lima-sekawan-ditahan
|