Georgetown: Polis mengesahkan kejadian
pembunuhan seorang wanita dan bapanya di Lengkok Angsana, Ayer Itam di sini, Khamis lalu berpunca daripada 'cinta ditolak'.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan mendapati suspek yang juga lelaki tempatan berusia 32 tahun itu menaruh perasaan terhadap mangsa.
"Bagaimanapun, mangsa yang berusia 30 tahun tidak berminat dengan suspek.
"Sebelum kejadian suspek juga dikatakan melakukan ugutan bunuh terhadap keluarga mangsa di kediaman mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Kita masih menunggu laporan ujian darah bagi menentukan sama ada suspek terbabit atau tidak dengan pengambilan dadah.
"Status ujian dadah suspek juga masih belum disahkan kerana kita masih menunggu laporan ujian darah," katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kejadian menimpa
Siti Zulaila Zulkifli dan bapanya Zulkifli Ibrahim maut ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki di pangsapuri berkenaan.
Suspek yang turut bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali kemudian dikejar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.
Lelaki berkenaan kemudian ditahan dan direman selama tujuh hari sehingga 14 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, sekurang-kurangnya enam kesan tikaman dikesan pada mayat kedua-dua mangsa.
Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan bersama dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong pada 10 malam Jumaat lalu.