CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12654|Reply: 0

[Perlis] UniMAP perkasa komuniti melalui Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI

[Copy link]
Post time 12-11-2024 09:47 AM | Show all posts |Read mode
UniMAP perkasa komuniti melalui Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI

Oleh Aizat Sharif - November 12, 2024 @ 9:23am[email protected]




Menerusi inisiatif Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI, komuniti yang terbabit dengan empat projek menerusi inisiatif itu diajar dengan perkongsian kepakaran serta penyelidikan daripada pensyarah dan penyelidik UniMAP.




ARAU: Universiti tidak seharusnya hanya dilihat sebagai wadah akademik untuk menimba ilmu sahaja, sebaliknya ia juga perlu berfungsi dalam komuniti melalui khidmat kepakaran kepada pembangunan masyarakat.

Dalam memperkasakan pembangunan komuniti setempat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tampil dengan empat kaedah di bawah inisiatif Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI bertujuan memberi impak kepada pembangunan komuniti dan sosial.

Program itu adalah projek perintis universiti awam melalui peruntukan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menggerakkan empat inisiatif iaitu Projek Sistem Pemantauan Sarang Lebah Kelulut Tiruan, Projek Pemprosesan dan Penghasilan Baja Kompos dari Sisa Organik, Projek Penghasilan Jus Kordial Mangga Harum Manis dan Projek Penghasilan Bongkah Cendawan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail, berkata pihaknya menerima peruntukan RM500,000 daripada MOF bagi melaksanakan inisiatif yang digerakkan sejak Jun lalu.



Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail

"Projek pertama yang kita laksanakan adalah Projek Madu Kelulut menggunakan kaedah Internet of Things (IOT) di mana ia adalah teknologi hasil kepakaran daripada penyelidik UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Khairul Ali Hassan.

"Bagi projek ini, kita menghasilkan 100 sarang madu kelulut bagi kegunaan penternak di seluruh Perlis antaranya di Kangar dan Batu Bertangkup.

"Penternak madu kelulut hanya perlu memantau tahap atau paras madu kelulut itu menerusi telefon bimbit sahaja dengan menggunakan aplikasi yang dibangunkan UniMAP.

"Penternak tidak perlu keluar meninjau sarang madu kelulut kerana kita sudah ada alat pengesan. Sekiranya, hasil madu penuh, penternak hanya perlu tuai sahaja," katanya ketika ditemui di Bangunan Canselori UniMAP, Kampus Pauh Putra, di sini baru-baru ini.

Rizalafande berkata, bagi Projek Pemprosesan dan Penghasilan Baja Kompos dari Sisa Organik, UniMAP memilih komuniti FELDA Chuping Selatan sebagai lokasi melaksanakan program berkenaan.

"Projek ini diketuai Prof Madya Dr Irnis Azura Zakarya membabitkan 100 peserta yang diberikan tong baja kompos. Mereka akan mengumpulkan sisa makanan dari setiap rumah di kawasan FELDA untuk disimpan ke dalam tong yang ditempatkan di rumah peserta.

"Inisiatif ini membabitkan usaha melestarikan alam dan penyelidik akan mengajar peserta bagaimana cara menghasilkan baja kompos menggunakan teknik dicipta di UniMAP.

"Teknik ini mampu menghasilkan baja kompos dalam tempoh sebulan sahaja dan peserta boleh menggunakan bahan itu untuk tanaman mereka atau dipek sebagai baja dan dijual," katanya.



Menerusi inisiatif Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI, komuniti yang terbabit dengan empat projek menerusi inisiatif itu diajar dengan perkongsian kepakaran serta penyelidikan daripada pensyarah dan penyelidik UniMAP. (Foto ihsan UniMAP)

Bimbing 150 remaja istimewa
Beliau berkata, bagi Projek Penghasilan Jus Kordial Mangga Harum Manis pula, ia diketuai Prof Madya Dr Noor Shazliana Aizee Abidin yang juga pakar dalam teknologi makanan di UniMAP.

"Menarik mengenai projek ini adalah kita membimbing 150 remaja istimewa dari 150 Perlis Special Teens Centre (PeSTeC) berusia 18 tahun ke atas cara menghasilkan just kordial mangga Harum Manis.

"Disebabkan Perlis mempunyai lambakan mangga yang tidak terjual atau rosak, kita akan beli buah itu melalui ladang di Beseri dan kita hasilkan pati Harum Manis," katanya.

Rizalafande berkata, bagi Projek Penghasilan Bongkah Cendawan pula, ia diketuai penyelidik Prof Madya Dr Hanum Hasan yang memberi penekanan kepada penghasilan bongkah cendawan pada peringkat komuniti.

"Lazimnya di Perlis, kita selalu mendengar mengenai penghasilan cendawan segar. Untuk hasilkan cendawan tiada masalah namun isu yang timbul, bagaimana hendak menghasilkan bongkah cendawan yang menjadi permulaan proses tanamannya.

"Di Perlis bongkah cendawan agak kurang, jadi apabila ada projek tanaman cendawan, kita terpaksa beli bongkah dari Kedah atau Perak menyebabkan kosnya tinggi.

"Untuk projek ini kita bersama 100 penduduk di Padang Siding akan menghasilkan bongkah cendawan di bengkel yang lengkap dengan alatan menggunakan kepakaran kita," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan analisis dibuat UniMAP, segala projek yang dilaksanakan menerusi Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI di Perlis ini mampu meningkatkan 20 peratus ekonomi masyarakat di negeri ini.

"Secara keseluruhan projek hasil inisiatif ini membabitkan seramai 450 peserta daripada komuniti luar bandar, termasuk golongan asnaf dan istimewa di sekitar Perlis.

"Selain itu, masyarakat setempat dapat meraih manfaat dengan peningkatan pendapatan sampingan sebanyak 20 peratus serta projek ini juga mampu mencipta sebanyak lima peratus peluang pekerjaan baharu," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1322721/unimap-perkasa-komuniti-melalui-program-pendayaan-komunitiunimadani





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-11-2024 10:44 PM GMT+8 , Processed in 0.759024 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list