Raden ketika bercakap pada sidang media Konsulat Jeneral Republik Indonesia mengenai lawatan ke Ibu Kota Nusantara dan Balikpapan pada 7-10 November lalu di pejabatnya hari ini. -Gambar Chimon Upon
KUCHING: Laluan penerbangan terus pergi balik Kuching-Pontianak serta Kuching-Balikpapan di Indonesia ditawarkan kepada mana-mana syarikat penerbangan Malaysia yang berminat.
Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching Raden Sigit Witjaksono berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Utusan Borneo menerusi panggilan telefon hari ini.
"Kita tidak memilih mana-mana syarikat penerbangan. Tetapi sebelum ini kerajaan Republik Indonesia (RI) telah mengehadkan kemasukan penerbangan antarabangsa ekoran wabak COVID-19.
"Sehingga itu, difahamkan laluan penerbangan terus pergi balik Kuching-Pontianak telah dihentikan dan kita amat berharap ia dibuka semula dengan menambah laluan terus Kuching-Balikpapan, setelah melihat kepada potensinya.
"Buat masa ini, dengan harapan pada kepimpinan baharu RI di Jakarta akan memberi kebenaran untuk mana-mana syarikat penerbangan ini beroperasi," katanya.
Beliau malah mencadangkan laluan tersebut turut dibuka menerusi lokasi bandar lainnya seperti Sibu, Bintulu dan Miri ke Kalimantan Barat, Indonesia.
Harus diakui bahawa masih terdapat kekurangan penyambungan laluan penerbangan dari Kalimantan Barat, Indonesia dengan Sarawak.
Kami memberi keutamaan kepada perkara ini kerana kita tinggal di dalam Pulau Borneo yang sama, ujarnya.
"Apabila kita pergi dari sini (Kuching) ke sana (Kalimantan Barat atau Balikpapan), kita memerlukan akses. Kami memerlukan pengangkutan. Tetapi, belum dipunyai lagi.
"Walaupun sudah wujud penerbangan Kuching-Kuala Lumpur-Jakarta atau Kuching-Kuala Lumpur-Balikpapan namun penerbangan terus lebih baik, tidak memakan masa yang lama," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) mengenai lawatan ke Ibu Kota Nusantara (IKN) dan Balikpapan pada 7 hingga 10 November lalu di pejabatnya di sini.
Raden turut menegaskan bahawa usaha itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak berkepentingan dan menyokong ketersambungan laluan bagi meningkatkan taraf ekonomi.
Sebelum ini, seramai 200 orang delegasi Sarawak, Singapura, China dan Kuala Lumpur melawat IKN dan Balikpapan menggunakan penerbangan sewaan dan komersil.
Sebelum ini KJRI, Kuching pernah melakukan perjumpaan dengan Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) Dato Sri Lee Kim Shin pada awal September 2024 bagi membincangkan perkara yang sama.
"Kita akan mengadakan satu lagi pertemuan dengan MOTS pada penghujung tahun ini dan akan dikongsikan juga dapatan kita sekitar lawatan delegasi yang lepas," tambahnya.
Bagaimanapun, pihaknya berharap untuk mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negeri selepas ini.
Pihaknya malah akan melaksanakan satu lagi lawatan delegasi beramai-ramai sekitar Februari-Mac 2025 yang akan dibuka kepada usahawan dan kerajaan negeri serta persekutuan.
|