Lelaki pandu kereta melulu ditahan
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
12 November 2024 06:48pm
Tangkap layar menunjukkan lelaki berusia 38 tahun memandu kereta secara melulu sebelum melanggar sebuah kereta lain di Jalan Batu Feringghi.
GEORGE TOWN - Pemandu sebuah kereta yang dikesan memandu secara melulu di Jalan Batu Ferringhi ditahan selepas klip video memaparkan perbuatannya itu tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pemandu itu ditahan selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, pada Isnin.
"Pemandu berusia 38 tahun itu ditahan selepas dia menyerah diri di IPDTL semalam.
"Namun dia diberi jaminan polis setelah siasatan selesai dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Swee Sake berkata, pemandu yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer itu dikesan memandu kereta tersebut secara melulu dan melanggar sebuah kenderaan lain di Jalan Batu Ferringhi, pada 3 November lalu.
Satu klip video dikesan menerusi video rakaman kamera papan pemuka yang tular di laman Facebook pada Rabu lalu. Berdasarkan rakaman video itu, didapati kejadian berlaku pada jam 7.30 pagi," tambahnya.
Kata Swee Sake, pihaknya memohon kerjasama saksi yang melihat kejadian dan pemilik video rakaman itu tampil atau hubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPDTL di talian 010-9771517.
Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 38 saat memaparkan sebuah kereta dipandu secara melulu termasuk memotong di laluan garisan berkembar sebelum melanggar sebuah kenderaan lain.
https://www.sinarharian.com.my/article/696209/berita/semasa/lelaki-pandu-kereta-melulu-ditahan
|