TIBA: Lee tiba di Kompleks DUN bagi penggulungan kementeriannya. Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak dijangka menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Malaysia Aviation Group (MAG) pada 31 Disember depan berkaitan pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata ia selepas Kerajaan Sarawak dan MAG, syarikat induk MASwings telah mencapai persetujuan terma yang menggariskan SPA tersebut.
“Selepas menandatangani SPA, pemindahan hak milik MASwings daripada MAG kepada Kerajaan Sarawak akan mengambil masa enam hingga sembilan bulan, tertakluk kepada syarat tertentu.
“Semasa peralihan ini, MASwings akan meneruskan operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) sambil mendapatkan lesen dan kelulusan yang diperlukan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia, MAVCOM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Pengangkutan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) hari ini.
Tambah Lee, Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk meletakkan MASwings sebagai syarikat penerbangan serantau dalam jarak penerbangan empat hingga tujuh jam.
Ini sekali gus katanya menjadikan Sarawak sebagai pintu masuk untuk perjalanan udara serantau selaras dengan visi Sarawak untuk meningkatkan profilnya sebagai destinasi antarabangsa dan menarik pelaburan asing.
Dalam perkembangan berkaitan, Lee berkata Sarawak bakal membuka dua lagi laluan penerbangan antarabangsa baharu antara Kuching dengan Indonesia dan China.
Dua laluan penerbangan baharu itu katanya adalah antara Kuching dan Balikpapan di Kalimantan, Indonesia dan antara Kuching dan Kunming di China.
“MAVCOM telah meluluskan AirAsia Berhad (Malaysia) untuk mengendalikan laluan penerbangan antara Kuching dan Balikpapan di Kalimantan, Indonesia dan antara Kuching Kunming, China.
“Bagaimanapun, tarikh tentatif operasi hanya akan dimuktamadkan apabila syarikatpenerbangan itu mendapat kelulusan lanjut daripada pihak berkuasa negara destinasi,” katanya.
Tambah Lee, MAVCOM baru-baru ini juga telah meluluskan satu laluan penerbangan domestik antara Kuching dan Ipoh, Perak untuk AirAsia Berhad. Bagaimanapun katanya tarikh permulaan operasi masih belum ditentukan oleh syarikat penerbangan itu.
|