Tangkap layar rakaman video kebakaran yang tular di media sosial Facebook
BINTULU: Sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di sini dilaporkan terbakar dan meletup petang tadi.
Video tular di laman media sosial Facebook memaparkan sebuah kilang terbakar dan meletup.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju berada di lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja pemadaman.
Bagaimanapun, maklumat lanjut berhubung insiden kebakaran itu belum dapat diperolehi.
Sementara itu OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd mengesahkan bahawa kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang di kemudahan kilangnya di Taman Perindustrian Samalaju di sini tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan membabitkan pekerja.
Pengurus Kanan Pentadbiran OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd Chieng King Tung berkata insiden itu melibatkan limpahan bahan cair daripada acuan tuang, menyebabkan letupan setempat dalam bengkel relau yang terjejas.
Menurutnya, respons segera dan Protokol Keselamatan melalui protokol tindak balas kecemasan diaktifkan serta-merta dan semua kakitangan di kawasan terjejas dipindahkan dengan selamat ke zon ditetapkan.
"Kami dengan sukacitanya mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam. Chieng berkata, kerosakan dialami adalah kecil dan operasi dijangka disambung semula dengan gangguan minimum.
Katanya, pihak berkuasa berkaitan dimaklumkan dengan segera dan syarikat memulakan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.
"Keselamatan pekerja kami tetap menjadi keutamaan dan kami komited sepenuhnya untuk melindungi kesejahteraan pekerja, kontraktor dan masyarakat sekeliling. "Kami akan memberi kemas kini situasi berlaku apabila lebih banyak maklumat tersedia dan semasa penyiasatan berlangsung.
"Pada masa sama, kami mengucapkan terima kasih kepada pasukan tindak balas kecemasan, pekerja dan pihak berkuasa tempatan tindakan pantas serta kerjasama semasa kejadian," jelasnya.
Chieng berkata, pihaknya menghargai pemahaman dan kerjasama orang ramai dan kemas kini diberikan melalui saluran komunikasi rasmi.
|