Bomba tangkap 3 ekor ular tedung senduk terperangkap dalam pukat
Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 20, 2024 @ 2:49pm[email protected]
Anggota BBP Aman Jaya menunjukkan tiga ekor ular tedung senduk yang berjaya ditangkap selepas tersangkut pada pukat rumah penduduk di Taman Kelisa Ria. - Foto NSTP/Ihsan BOMBA
SUNGAI PETANI: Pasukan Bomba dipanggil untuk membantu menangkap tiga ekor ular tedung senduk yang ditemui terperangkap dalam pukat yang dipasang penduduk di Taman Kelisa Ria, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, ketiga-tiga ular itu ditemui penduduk taman perumahan itu yang kemudian menghubungi pihak Bomba untuk mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas ancaman ular pada jam 10.45 pagi dan sepasukan anggotanya dari BBP Aman Jaya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Rashid Mamat.
"Sebaik tiba di lokasi, terdapat tiga ekor ular tedung senduk tersangkut pada pukat di halaman rumah pemanggil.
"Tindakan yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan menangkap ular berkenaan menggunakan dua unit penyepit dan penjerut sehingga selesai.
"Ular berkenaan bertindak agresif sewaktu ditangkap namun anggota kami berjaya menangkapnya dengan menggunakan kemahiran yang ada," katanya ketika dihubungi hari ini.
Azahari berkata, operasi tamat pada jam 11.30 pagi.
Beliau berkata, cuaca panas yang melanda ketika ini menyebabkan ular keluar daripada habitat mereka untuk berlindung.
"Sejak Januari sehingga hari ini, BBP Aman Jaya menangani 100 kes membabitkan ancaman ular pelbagai spesis," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1326389/bomba-tangkap-3-ekor-ular-tedung-senduk-terperangkap-dalam-pukat
|