CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 28622|Reply: 1

[Pulau Pinang] TYT Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa

[Copy link]
Post time 21-11-2024 12:21 AM | Show all posts |Read mode
TYT Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa

November 20, 2024 @ 11:24pm




Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Upacara Konvokesyen USM ke-62 hari ini. - Foto BERNAMA



Ucapan penuh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia Ke-62 di Dewan Tuanku Syed Putra, USM, Pulau Pinang, semalam.

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakahtuh.

Patik menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Canselor Universiti Sains Malaysia, serta Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid di atas perkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-62 pada pagi yang mulia ini.

Patik juga menjunjung kasih dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, di atas perkenan Tuanku menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada patik, bersempena dengan Majlis Konvokesyen USM Ke-62 ini.

Patik juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan dan semua warga USM di atas penganugerahan Ijazah Kehormat di upacara yang penuh gilang gemilang ini.

Dengan perasaan syukur dan rendah diri, patik menerima Ijazah Kehormat ini sebagai satu penghormatan besar yang amat bermakna kepada patik. Ianya telah menyuntik dalam diri patik satu perasaan tanggungjawab yang diperbaharui untuk terus memberikan yang terbaik di samping mengukuhkan komitmen patik terhadap prinsip dan idealisme hubungan antarabangsa.

Mengimbas kembali perjalanan hidup serta pengalaman patik dalam bidang hubungan antarabangsa semasa berkhidmat di Kementerian Luar Negeri, patik yakin dan percaya diplomasi dan hubungan antarabangsa adalah penting sekali ke arah mewujudkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan global.

Ampun Tuanku,
Sebagaimana kita sedia maklum, dunia kini menghadapi penuh cabaran. Kita masih dihantui peperangan rantau termasuk di Gaza, Lebanon dan Ukraine, konflik persempadanan laut dan darat, perubahan iklim, kecelaruan cuaca dan pemanasan bumi serta bencana alam dalam bentuk kebakaran atau banjir besar.

Kita juga dibelenggu isu-isu keganasan senjata, kecenderungan negara-negara berkenaan ke arah menegakkan "might is right" daripada rundingan untuk mencari penyelesaian, struktur sistem antarabangsa yang lebih memihak kepada kuasa-kuasa besar serta aplikasi undang-undang antarabangsa secara "selective" tanpa menimbang kepentingan negara-negara kecil dan lemah. Kesemuanya ini mencabar keupayaan manusia untuk mencari penyelesaian global yang adil dan saksama.

Dunia hari ini juga dilanda isu-isu kemiskinan, kebuluran, pengangguran, krisis kesihatan, pembaziran, kekontangan sumber air, pemerdagangan manusia dan perhambaan moden, migrasi yang tidak terkawal, kebanjiran pelarian konflik, ledakan teknologi disruptif dan penggunaan sumber yang kurang mampan yang perlu diatasi bagi meningkatkan taraf kehidupan dan kebajikan rakyat seluruhnya.

Di samping itu, ketidaktentuan ekonomi global, termasuk isu kesenjangan kekayaan dan pengagihan kemakmuran yang tidak sama rata, antara negara-negara maju dan membangun, memerlukan penggubalan dasar-dasar dan inisiatif ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan pembentukan sistem dan struktur perdagangan yang lebih adil dengan cara memberi peluang kepada semua negara untuk maju bersama tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

Di peringkat geopolitik, walaupun zaman perang dingin mungkin telah berlalu, pengajaran tentang bahaya dunia yang berbelah bahagi masih relevan.

Hakikatnya, ketegangan politik masih wujud di beberapa pelusuk dunia dan konsep dunia multipolar, di mana tiada satu negara atau blok mendominasi urusan global merupakan matlamat penting yang perlu dicapai melalui kerjasama global.

Hal ini amat relevan, melihat kepada persaingan di antara Amerika Syarikat dan China ketika ini yang bukan sahaja mempunyai implikasi luas yang melibatkan kepentingan komuniti global keseluruhannya, tetapi juga berpotensi mencorak arah aliran hubungan antarabangsa bagi tahun-tahun akan datang.

Adalah wajar usaha usaha digerakkan ke arah menggalakkan kedua-dua negara untuk lebih bekerjasama mengenai isu-isu global kepentingan bersama daripada terus bersengketa .

Ampun Tuanku,
Pada hemat patik, kesemua cabaran cabaran ini amat rumit dan tidak mungkin atau mampu ditangani oleh satu-satu negara bersendirian.

Kesemuanya memerlukan diplomasi, dialog dan interaksi hubungan antarabangsa yang positif, dengan mengguna sepenuhnya kesalinghubungan yang wujud, bagi mencipta dunia yang lebih baik dan adil bagi generasi akan datang.

Patik berpendapat peranan dasar luar adalah sangat besar dalam mendepani cabaran global dan serantau yang mencengkam ini. Sebagai negara membangun, Malaysia memerlukan dasar luar negara yang lebih proaktif tetapi pragmatik. Juga, dasar luar yang bersifat komprehensif dan holistik dan yang sentiasa kekal berprinsip serta diasaskan kepada landasan yang adil dan selari dengan lunas undang-undang antarabangsa.

Di peringkat dua hala, segala hubungan dengan negara jauh dan dekat perlu sentiasa diperbaharui, melalui penilaian kemajuan kerjasama, di samping menerokai potensi pelbagai kerjasama baharu.

Di peringkat multilateral pula, Malaysia patut menonjolkan imej positif, mengambil pendirian tegas berdasarkan prinsip yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan sejagat, keamanan dan kemakmuran serta memastikan kelestarian ekonomi dan alam sekitar sentiasa terpelihara.

Malaysia juga memerlukan kecerdasan dan kebijakan baharu bagi mengemukakan idea dan citra baharu. Adalah penting bagi kita mempunyai keintelektualan, kemampuan dan kepakaran yang khusus dalam bidang hubungan antarabangsa untuk menerajui dan mendepani cabaran-cabaran yang dihadapi. Malaysia tidak boleh terpisah dan menjauhkan diri daripada segala peristiwa, konflik dan krisis dunia, tetapi harus menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya. Dalam hal ini, kita memerlukan strategi yang bijak serta landasan baharu hubungan antarabangsa bagi mengukuhkan dan meraih kepercayaan antarabangsa.

Patik percaya, landasan baharu tersebut dapat dibangunkan apabila semua usaha diplomasi dapat dikemas dan digarap rapi, bagi menjelmakan imej dan profil Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sekadar terlihat, tetapi diyakini, di persada antarabangsa dan masyarakat dunia.

Ampun Tuanku,
Patik sedar bahawa penghormatan yang patik terima ini diiringi tanggungjawab besar untuk memelihara nilai-nilai universiti ini, untuk terus menimba ilmu pengetahuan serta meningkatkan pemahaman dan kemahiran yang lebih mendalam dalam bidang hubungan antarabangsa. Adalah menjadi harapan patik untuk terus memberi sumbangan sewajarnya, walaupun kecil, ke arah pencapaian visi politik global yang memberi keutamaan kepada perdamaian berbanding konflik, rundingan dan kerjasama berbanding percakaran serta diplomasi dan dialog berbanding kekerasan dan peperangan.

Sebagai salah sebuah universiti terunggul dengan status dan kedudukan yang sememangnya diiktiraf tinggi di Malaysia dan di rantau ini, patik percaya USM mempunyai keupayaan dan kemampuan tersendiri untuk menyediakan pelajar-pelajar berkemahiran dan berpengetahuan tinggi, untuk menjadi pakar-pakar yang hebat dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Semoga semua lulusan USM di bidang ini diberi ruang dan tempat sewajarnya untuk memain paranan aktif di semua peringkat demi kepentingan negara Malaysia khasnya, dan dunia sejagat amnya.

Di kesempatan ini, sukacita sekali lagi patik merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua graduan di atas kejayaan cemerlang masing-masing sempena Konvokesyen Ke-62 USM pada hari yang mulia ini. Patik juga mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli fakulti dan warga USM di atas kejayaan yang membanggakan yang dicapai oleh universiti ini semenjak ditubuhkan.

Akhir kalam, patik seisi keluarga sekali lagi menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan pihak USM di atas pengiktirafan dan penghormatan tinggi kepada patik dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa yang tidak patik duga ini.

Semoga segala amal yang ikhlas dan mulia kita semua, diredhoi dan diberkati Allah SWT.

Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1326637/tyt-pulau-pinang-tun-ahmad-fuzi-dianugerahkan-ijazah-kehormat-doktor





Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 22-11-2024 12:21 PM | Show all posts
tahniah ex boss ex mentor


well deserved
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 01:11 AM GMT+8 , Processed in 0.299961 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list