Abang Johari berucap pada majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam Rabu. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir semalam sebagai bertamadun ataupun beradab, selain menepati perancangan masa.
Menurutnya, walaupun Ahli Dewan dilihat hendak berbincang lebih mendalam mengenai beberapa isu, kesemuanya mempunyai isi yang bermakna dalam perbincangan mereka.
“Tidak seperti tempat lain di mana sering berlaku saling kutuk mengutuk, di sini kita berbahas dengan penuh bertamadun,” katanya berucap pada majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Tambah Abang Johari, pada persidangan kali ini juga, Ahli Dewan dilihat mematuhi Perintah Tetap dan arahan Speaker, sekali gus membantu memastikan suasana kondusif sepanjang persidangan.
“Sebab itulah juga kita membuat sedikit pindaan kepada Perintah Tetap ini bagi memastikan standard dan tatatertib DUN terus terjaga,”katanya.
Abang Johari juga memuji sikap Ahli Dewan yang telah mempamerkan tahap profesionalisme tinggi ketika berdebat di persidangan DUN.
Selain itu, beliau turut menyuarakan rasa bangga dan berbesar hati tatkala mendengar perbahasan Ahli Dewan yang menyentuh mengenai isu serta masalah-masalah dari sudut Perlembagaan terutamanya mengenai tanggungjawab, kedaulatan Sarawak ke atas pelantar benua dan sumbernya.
“Tadi dalam ucapan penggulungan, saya juga mengulang beberapa perkara penting dalam perbincangan mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, khususnya Perkara 47 serta Artikel 2, yang menyentuh mengenai persempadanan dan hak kita ke atas tanah (proprietary rights).
“Ini adalah isu yang sangat penting kerana kita telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan dua perlembagaan ini.
“Jadi Alhamdulillah, semoga kita terus dapat mempertahankan kedaulatan dan juga hak-hak kita di Sarawak,” katanya.
Hadir sama semasa majlis, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki, dan tetamu kehormat yang lain.
|