Warga emas hilang ditemui berjalan kaki di lorong motosikal lebuh raya
Siti Aminah Mohd Yusof[email protected]
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Bukit Mertajam: Warga emas yang dilapor hilang sejak jam 1 tengah hari semalam selepas keluar dari rumahnya di Kampung Pelet, Kubang Semang dengan memandu Perodua Myvi ditemui orang awam di lorong motosikal Lebuh Raya Jelutong, dekat sini, hari ini.
Anaknya, Aida Yusoff, 45, berkata, ketika ditemui, bapanya, Yusoff Ali, 81, sedang berjalan kaki dalam keadaan keletihan dengan membawa sebatang kayu yang dijadikan tongkat, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Menurutnya, warga emas yang baru menyambut ulang tahun kelahiran pada 18 November lalu itu turut menyatakan dia tidak dapat mengingati di mana dia meletakkan kereta dengan nombor plat pendaftaran PLG 7773 yang dipandunya sebelum itu.
"Alhamdulillah, asbab tular sudah jumpa. Ketika ditemui, abah mengadu letih dan katanya belum makan sejak keluar rumah semalam. Berjalan pun dalam keadaan terketar-ketar.
"Cuma kereta masih belum jumpa sampai sekarang dan kami masih mencari. Mujur kunci kereta dan beg duit ada dibawa bersama," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Aida berkata, bapanya itu bercerita dia hanya berhasrat memandu ke kedai berdekatan rumah dan tidak menyedari sudah memandu sehingga masuk ke bahagian kawasan pulau semalam.
"Apabila kami tanya, di mana dia tidur semalam, dia kata dia tidur di rumah sedangkan dia tidak balik ke rumah," katanya yang bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana bapanya ditemui dalam keadaan selamat.
Disiarkan pada: November 29, 2024 @ 3:37pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1160574/warga-emas-hilang-ditemui-berjalan-kaki-di-lorong-motosikal-lebuh-raya
|