TNB tutup bekalan elektrik di beberapa lokasi di Alor Setar, Sik
BERNAMA
ANTARA rumah yang masih di tenggelami banjir di Kampung Pantai Johor, Alor Setar. FOTO Wan Nabil Nasir
Alor Setar: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan di sini dan Sik demi keselamatan orang awam susulan keadaan banjir yang semakin serius.
TNB dalam hantaran di Facebook memaklumkan 11 pencawang di Alor Setar dan satu di Sik tidak mendapat bekalan elektrik susulan penutupan bekalan kira-kira pukul 1 petang tadi.
"Di Alor Setar, ia membabitkan Kampung Bukit Derang, Kampung Bukit Hijau, Kampung Empa 1 dan 2, Kampung Teras, Kem Tentera Udara Diraja Malaysia, Kampung Alor Madi dan Kampung Pulau Kerengga.
"Turut terjejas, Kampung Titi Gajah 1, Kampung Alor Perang, Kampung Alor Senjaya dan Rumah Pam Alor Gunung. Di Sik pula, ia membabitkan Kampung Padang Chicar," menurut hantaran berkenaan hari ini.
TNB turut mengingatkan orang ramai supaya menghindari tiang besi atau mana-mana pepasangan TNB yang tenggelam bagi mengelakkan risiko renjatan.
Disiarkan pada: Disember 1, 2024 @ 4:35pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/12/1161398/tnb-tutup-bekalan-elektrik-di-beberapa-lokasi-di-alor-setar-sik
|