Shahrulanuar (tengah) menunjukkan syabu seberat lebih tiga kilogram dirampas susulan penahanan seorang lelaki, Khamis lalu. FOTO Ihsan PDRM
Batu Pahat: Penahanan seorang lelaki membawa kepada penemuan dadah jenis methampethamim seberat lebih tiga kilogram (kg) bernilai hampir RM100,000 di sebuah rumah, di Parit Sulong, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek berusia 24 tahun yang dipercayai baru berjinak menjadi pengedar dadah ditahan dalam serbuan pada 11.30 pagi.
"Dalam serbuan itu, polis merampas methampethamim seberat 3,080 gram bernilai RM96,000 dan saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis sama.
"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dengan kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak awal bulan lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut menyita motosikal dan suspek direman lima hari bermula Jumaat lalu sehingga Selasa ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Disiarkan pada: Januari 5, 2025
|