Johor Bahru: Seramai 12 wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam Op Noda yang dilaksana polis terhadap pusat hiburan di Taman Mount Austin di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) bermula 8 malam sehingga 2 pagi.
"Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun disyaki penjaga premis ditahan bersama 12 wanita Thailand berusia antara 22 hingga 38 tahun, dipercayai bekerja sebagai pelayan tanpa permit sah.
"Pelbagai barangan turut dirampas, termasuk buku catatan, tiga resit perniagaan, satu komputer riba, satu alat pengawal cahaya 'move light', satu mikrofon dan lima utas gelang tangan berlampu.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata, lelaki tempatan direman selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Januari, manakala 12 warga asing direman 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau visa dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor kerana menjalankan pusat hiburan tanpa lesen," katanya.