LAPORAN Harian Metro terdahulu.
Kulai: Tiada sebarang kecederaan luaran pada mayat wanita dan bayi yang ditemui di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, turut ditemui uri berdekatan mayat berkenaan, yang kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk dibedah siasat.
Terdahulu, beliau mengesahkan penemuan mayat wanita itu bersama bayi berkenaan selepas Balai Polis Kelapa Sawit menerima panggilan awam pada 8.15 pagi.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan Polis Daerah Kulai dan Pasukan Forensik Kontinjen Johor ke lokasi dan mendapati wanita terbaring di tepi jalan bersama seorang bayi lelaki dengan tali pusat belum dipotong.
"Pegawai perubatan yang turut hadir mengesahkan kematian kedua-dua mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan adalah warga asing dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
Katanya, maklumat boleh disalur kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Arun Ramamoorthy di talian 013-3332385 atau balai polis terdekat.
Disiarkan pada: Januari 7, 2025
|