RAMPAS: Semua rokok seludup berkenaan dirampas untuk siasatan dan tindakan lanjut.
LAHAD DATU: Dua individu warga asing ditahan selepas disyaki menyeludup 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis dan 440 bungkusan kecil tembakau bernilai RM872,000 termasuk cukai.
Kedua-dua suspek ditahan Bahagian Keselamatan, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam serbuan di kawasan koloni setinggan atas air, di sebuah rumah di Kampung Bakau, di sini, semalam.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya menerima maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.
“Dalam serbuan itu, seorang wanita dan lelaki warga asing yang disyaki aktif dalam aktiviti penyeludupan rokok tanpa cukai di sekitar daerah ini diberkas.
“Pasukan serbuan merampas 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis serta 440 bungkusan kecil tembakau yang disembunyikan dalam kotak dan plastik membabitkan nilai rampasan selepas cukai RM871,854.40,” Katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, selain itu turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, tiga buah bot enjin sangkut kuasa 15 kuda setiap satu yang dipercayai digunakan oleh penyeludup.
“Nilai semua barang berkenaan dianggarkan berjumlah RM62,000. Secara keseluruhannya, barang kes yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan berjumlah RM933,854.40.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala siasatan kes penyeludupan pula di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
SUSPEK: Dua warga asing yang disyaki aktif dalam penyeludupan rokok.
Victor berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan ini mencerminkan komitmen dan jaminan ESSCOM dalam mengurangkan Jenayah Rentas Sempadan (JRS) di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“ESSCOM sentiasa memantau dan akan terus memperhebat operasi-operasi khas seperti ini, khususnya dalam menjejak anasir asing bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat Keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam khususnya di pantai Timur Sabah.
“Justeru, saya amat mengalu-alukan kerjasama orang awam melaporkan terus sebarang maklumat, aktiviti dan insiden mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072 supaya kesejahteraan ESSZONE dapat terus diperkasa,” katanya.
Beliau berkata ESSCOM akan terus memperhebat koordinasi operasi bersama-sama pasukan keselamatan yang lain bagi mengekang dan menangkap individu yang berniat jahat untuk mengganggu gugat keamanan serta keselamatan negara.
|