NIZAM
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir diingatkan supaya tidak membela pemimpin pembangkang Semenanjung yang menghina rakyat serta pemimpin Sabah dengan istilah 'palui'.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, istilah ‘Palui’ ini bermaksud bodoh dalam bahasa tempatan di negeri ini.
Katanya, ia sekali gus menggambarkan satu penghinaan besar kepada rakyat Sabah selama ini yang mengutamakan keharmonian serta budaya politik santun.
“Kenyataan Suhaimi jelas menunjukkan sikap tidak menghormati rakyat Sabah serta jauh berbeza daripada budaya politik yang sering dijaja Perikatan Nasional (PN).
“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, hanya mempertahankan maruah rakyat Sabah apabila beliau menempelak tindakan Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya.
Namun, katanya, sangat mengecewakan apabila Suhaimi memilih untuk membela pihak yang menghina rakyat Sabah, malah menuduh Hajiji menggunakan isu ini sebagai alat politik.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Nizam berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak berasas malah menunjukkan kesanggupan UMNO Sabah untuk memburuk-burukkan kerajaan meskipun terpaksa berpihak kepada seteru politik mereka.
“Situasi ini sangat janggal dan jelas membuktikan bahawa UMNO Sabah sanggup melakukan apa sahaja demi menyerang kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan Plus (GRS-PH Plus).
“Kerajaan GRS-PH Plus di bawah kepimpinan Ketua Menteri akan terus membawa pelbagai pencapaian bermakna kepada rakyat Sabah,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh empat tahun, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk dalam sektor pendidikan yang menyokong pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
“Subsidi penerbangan sebanyak RM600 untuk pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak, dan Labuan, serta subsidi pengangkutan RM300 untuk pelajar dalam negeri, mampu meringankan beban keluarga di Sabah.
“Selain itu, inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat sebanyak RM300 sebulan selama 12 bulan turut diberikan kepada keluarga miskin dan miskin tegar di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, pemberian Rumah Mesra SMJ secara percuma kepada rakyat yang memerlukan adalah sebagai satu langkah bersejarah dalam sejarah negeri ini.
“Dalam aspek pembangunan infrastruktur, kerajaan Sabah juga merangka perancangan tenaga boleh diperbaharui untuk mengatasi isu bekalan elektrik dan air dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
“Projek seperti Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, round off river di Tenom, gas engine di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Sipitang, serta solar farm di 15 lokasi seluruh Sabah, dijangka meningkatkan kapasiti grid bekalan elektrik di Sabah,” katanya.
Selain itu katanya, pelaksanaan loji rawatan air baharu juga akan memastikan bekalan air sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.
“Semua itu adalah usaha serta inisiatif kerajaan GRS yang terus komited membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.
“Kami menyeru pemimpin seperti Suhaimi agar tidak mengutamakan permainan politik semata-mata sehingga sanggup memihak kepada pihak yang menghina rakyat Sabah,” katanya.
|