Tun Wan Junaidi bersama Abang Johari, Dr Sim dan tetamu kehormat lain melakukan upacara Yee Sang pada sambutan TBC di BCCK. -Gambar Kong Jun Liung
KUCHING: Meskipun hujan lebat, sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Peringkat Sarawak 2025 tetap berlangsung meriah dengan kehadiran sekitar 5,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK),hari ini.
Majlis anjuran kerajaan Sarawak itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, serta menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.
Antara orang ramai yang hadir Rumah Terbuka TBC Peringkat Sarawak 2025 hari ini. -Gambar Kong Jun Liung
Ketibaan para pemimpin disambut oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab sambutan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Pada majlis itu, hadirin dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa TBC serta disajikan dengan persembahan nyanyian daripada artis tempatan seperti Valerie Thiam, Ng Chien Chien, Ivando, Roxy Izy, dan Hafizah.
Selain majlis rasmi kerajaan, masyarakat Cina di bandar raya ini turut mengadakan rumah terbuka dan tradisi kunjung-mengunjung bagi meraikan perayaan tersebut dalam suasana penuh harmoni.
Tun Wan Junaidi berkesempatan merakam kenangan bersama media pada Rumah Terbuka TBC Peringkat Sarawak 2025 hari ini. -Gambar Roystein Emmor
Sambutan yang meriah ini sekali lagi membuktikan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat Sarawak dalam meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti negeri ini.
Tun Wan Junaidi, Abang Johari, Dr Sim serta menteri kabinet negeri dan persekutuan bergambar kenangan pada Rumah Terbuka TBC Peringkat Sarawak 2025 hari ini. -Gambar Roystein Emmor
Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman bersama komuniti India turut berkunjung ke Rumah Terbuka TBC Peringkat Sarawak 2025 anjuran kerajaan Sarawak.
|