Edited by Vellfire at 30-1-2025 12:25 PM
PENGHARGAAN: Nizam (tengah) menerima cendera kenangan daripada penganjur.
TAWAU: Semua rakyat diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata perpaduan rakyat negeri ini sudah cukup baik dan ia perlu dikekalkan sampai bila-bila.
Katanya, jangan sesekali benarkan sesiapa sahaja datang termasuk orang luar yang cuba meracuni fikiran penduduk kampung terutamanya untuk membenci kerajaan negeri ketika ini.
“Kita tidak mahu ada pihak datang dengan niat yang tidak baik dan menyebarkan berita-berita tidak benar sehingga penduduk kampung berpecah belah.
“Kerajaan negeri yang ada hari ini sudah berusaha dengan sebaik mungkin untuk membantu rakyat terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyediakan kemudahan yang baik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jom Sihat, di Kampung Titingan, di sini, semalam.
Menurutnya, masyarakat di daerah ini dinasihatkan supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa ataupun pemimpin di kampung sekiranya ada pihak yang cuba membuat hasutan berbaur perkauman.
“Perkara yang boleh membawa kegusaran kepada penduduk kampung sama ada dari segi lisan ataupun perbuatan perlu dihentikan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
BERTUAH: Nizam menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang peserta larian.
Sementara itu, Nizam berharap penduduk kampung di sini terus menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dan berbakti kepada negara.
Katanya, sebagai rakyat di negara ini perlu menghayati prinsip rukun negara kerana ia mampu memandu ke arah yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
“Program yang diadakan seperti ini juga merupakan salah satu platform untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.
“Justeru, saya sangat menggalakkan dan menyokong setiap program yang melibatkan semua penduduk kampung tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
|