GINGIVITIS adalah keadaan gusi di sekitar gigi yang mengalami keradangan.
MENJAGA kesihatan gigi kucing sangat penting kerana dapat mencegah penyakit berkaitan gigi yang membawa kepada kesakitan, ketidakselesaan, menggugat pemakanan dan aktiviti seharian haiwan itu.
Pensyarah Kanan dari Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rozanaliza Radzi berkata, terdapat kajian yang mengaitkan penyakit periodontal pada kucing sebagai faktor risiko kepada penyakit ginjal kronik (CKD).
"Kegagalan penjagaan gigi pada jangka panjang akan menyebabkan kucing kehilangan gigi. Sekiranya berlaku jangkitan pada mulut dan seterusnya pembentukan abses oral memerlukan prosedur pembedahan untuk membuang nanah yang berkumpul, jangkitan yang kronik pada gigi juga boleh menyebabkan tulang lelangit sekitar gigi rosak dan mewujudkan keadaan dikenali sebagai 'oronasal fistula.'
"Jangkitan pada gigi boleh merosakkan tulang yang memegang gigi seterusnya mudah berlaku tulang patah pada rahang atas atau rahang bawah bergantung kepada gigi yang terbabit," katanya.
Dr Rozanaliza berkata, secara amnya, punca masalah gigi pada kucing ialah tiada penjagaan gigi yang baik dan pemeriksaan gigi berkala.
Beliau berkongsi beberapa penyakit berkaitan gigi yang sering dialami oleh si bulus. Antaranya adalah:
FCGS adalah masalah keradangan yang teruk di dalam mulut kucing.
Gingivitis Gingivitis adalah keadaan gusi di sekitar gigi yang mengalami keradangan (merah, bengkak, mudah berdarah dan menyakitkan).
Malah gingivitis bermula dengan pengumpulan plak gigi (dental plaque). Plak gigi ialah lapisan tidak berwarna dan mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berada di permukaan gigi.
Sekiranya tidak dibuang secara berkala, plak gigi akan berkumpul dan melarat hingga ke pangkal gigi sekitar subgingival.
Sistem imun kucing mungkin akan bertindak balas terhadap bakteria pada biofilm, mengakibatkan keradangan dikenali sebagai gingivitis.
Gingivitis pada dasarnya adalah keadaan yang boleh dipulihkan (reversible) selagi plak dihilangkan dari permukaan gigi contoh dengan memberus gigi.
Plak gigi yang tidak dibersihkan, bercampur dengan sisa makanan dan air liur akan mengeras dan membentuk karang gigi (dental tartar). Karang gigi hanya boleh dihilangkan dengan rawatan 'scaling.'
Periodontitis Periodontitis ialah gingivitis yang tidak dikawal dan melarat sehingga merosakkan struktur yang memegang gigi seperti 'cementum,' tulang alveolar dan ligamen periodontal.
Keadaan ini secara amnya tidak dapat dipulihkan (irreversible), keadaan ini akan menyebabkan gigi hilang sokongan dan akhirnya longgar dan tercabut.
Kucing juga seperti manusia, sekiranya gigi kekal tercabut, maka tiada lagi gigi tersebut untuk seumur hidup.
Kehilangan contoh gigi taring akan menyebabkan kucing hilang mekanisme pertahanan terutama untuk kucing yang suka keluar dari rumah atau tinggal di luar rumah yang terdedah dengan ancaman kucing lain.
Masalah gigi dan mulut yang berkait dengan periodontitis ialah seperti 'Feline Chronic Gingivostomatitis (FCGS)' iaitu keradangan yang teruk di dalam mulut menyebabkan kucing tidak dapat makan walaupun lapar.
'Tooth resorption' iaitu gigi kehilangan struktur gigi sendiri seperti dentin dan simentum.
Gigi patah Gigi kucing boleh patah disebabkan trauma, keadaan ini akan menyebabkan pulpa gigi terdedah.
Pulpa gigi ialah bahagian dalam gigi yang terdiri daripada saluran darah, sarah dan tisu. Keadaan pulpa gigi terdedah ini sangat menyakitkan.
Menurutnya, kucing sedang mengalami masalah gigi akan menjadikan bau mulut bertukar busuk (bau seperti nanah atau bangkai), air liur meleleh dan kadang kala berdarah.
"Selain itu, kucing yang berdepan dengan masalah gigi akan berubah sikapnya dengan tidak membenarkan pemilik memegang atau mengusap bahagian mulut dan bahagian badan lain kerana sakit dan mengais mulut menggunakan kaki hadapan (pawing).
"Pada masa sama, anda boleh melihat banyak lebihan makanan yang tidak dijamah atau tidak disentuh langsung, kesukaran untuk makan atau cuba makan tetapi makanan jatuh keluar dari mulut, mengalami susut berat badan, tidak 'grooming' atau tidak membersihkan diri dengan menjilat bulu badan.
"Kucing yang sakit gigi atau mulut juga secara amnya akan menjauhkan diri atau bersembunyi.
Jelasnya, untuk peringkat gingivitis atau periodontitis, penskaleran dan penggilapan boleh dilakukan untuk membuang tartar.
"Prosedur ini memerlukan kucing dibius penuh. Pada ketika ini, kami akan mengambil peluang ini untuk memeriksa mulut dengan teliti termasuk melihat ke bawah lidah atau ke dalam mulut.
"Tujuan pemeriksaan secara teliti dapat membantu kami mengesan kehadiran ketumbuhan yang berkemungkinan barah atau tumor," katanya.
Mengulas lanjut, untuk FCGS, rawatan 'Gold standard' pada masa ini ialah mencabut kesemua gigi kucing.
"Secara lazimnya, 70 hingga 80 peratus keadaan radang mulut kucing beransur pulih walaupun ada kucing yang tiada penambahbaikan," katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan kesihatan gigi kucing sentiasa dalam keadaan baik, pemilik disarankan supaya mengambil langkah pencegahan kerana kos rawatan gigi kucing mahal berbanding kos langkah pencegahan seperti pemeriksaan penuh, penskaleran dan penggilapan.
"Pemilik digalakkan memberus gigi kucing setiap hari untuk menghalang pembentukan biofilm bakteria pada permukaan gigi. Gingivitis boleh berlaku dalam masa dua hingga tiga minggu sekiranya plak biofilm tidak dibersihkan.
"Selain itu, pemilik kucing disarankan mendapatkan konsultasi daripada doktor haiwan atau klinik veterinar yang bertauliah berkenaan proses penjagaan gigi harian dan produk penjagaan gigi yang selamat untuk digunakan oleh kucing. Sesetengah bahan yang selamat kepada manusia sebenarnya beracun untuk kucing," katanya.
Katanya, kesihatan keseluruhan kucing bertambah baik sekiranya kesihatan gigi dan mulut dititik beratkan serta menyumbang kepada jangka hayat kucing yang lebih baik.
"Kesihatan gigi kucing akan menyumbang kepada kesihatan mulut kucing secara keseluruhan. Mulut kucing yang sihat dan tidak berbau turut memberi keselesaan pemilik kucing," katanya.
|