View: 13009|Reply: 0
|
Nakawan Glamping gamit pelancong
[Copy link]
|
|
TANPA perlu ada pusat membeli-belah terbesar atau taman tema air terkemuka, Perlis menawarkan percutian berasaskan alam semula atau eko pelancongan menerusi keindahan hutan dan alam semula jadinya yang merangkumi Banjaran Nakawan.
Malah, sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, di sini turut menjadi antara destinasi bagi penggemar aktiviti berkhemah atau 'glamour camping' (glamping) yang kini menjadi aktiviti rekreasi pilihan dalam kalangan masyarakat.
Berlatarkan Hutan Simpan Bukit Bintan serta terletak 12 kilometer dari bandar Kangar, Nakawan Glamping menjadi produk pelancongan baharu yang diketengahkan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dalam memperkenalkan konsep pelancongan dengan gabungan kemudahan moden dan suasana semula jadi di dalam hutan.
Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai menghadiri Majlis 'Kick Off' Nakawan Glamping, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di Nakawan Glamping, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, mendapati kawasan khemah glamping yang disediakan sangat selesa terutama kepada mereka yang ingin menikmati keheningan malam.
Nakawan Glamping adalah satu kemudahan perkhemahan bersama keluarga yang menitikberatkan keselesaan sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Di situ terdapat lima buah khemah glamping yang berupa khemah kubah rumah gelembung atau 'dome tent'.
Kawasan dengan keluasan 0.12 hektar itu dilengkapi dengan kemudahan empat tandas lelaki dan perempuan, ia dirasmikan pada 24 Mei tahun lalu oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024.
Dua kadar sewaan
Terdapat dua kadar sewaan berbeza dikenakan kepada pengunjung yang ingin menginap di Nakawan Glamping iaitu tarif VIP berharga RM170 semalam yang menyediakan khemah dilengkapi pelantar balkoni. Bagi kadar biasa tanpa balkoni, harga sewaannya RM150 semalam.
Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, aktiviti glamping semakin mendapat perhatian pelbagai pihak terutama pelancong dari dalam dan luar yang mahu merasai pengalaman menikmati keindahan flora dan fauna di sekitar Banjaran Nakawan.
"Nakawan Glamping adalah produk pelancongan pertama di negara ini yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri kerana Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat ini terletak di bawah kendalian dan pemantauan kita.
"Pelancong atau pengunjung yang menginap di sini turut akan dibawa oleh anggota kita yang terdiri daripada renjer hutan untuk melihat habitat kunang-kunang atau kelip-kelip pada waktu malam yang terdapat di sekitar kawasan glamping ini.
"Kami turut menyediakan makan dan minum untuk mereka yang menginap di sini berdasarkan harga pakej yang dipilih," katanya.
Tambah Ag Shaffie, peranan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis tidak hanya menjadi penjaga dan pelindung hutan tetapi juga mempromosikan kesedaran terhadap pentingnya pemeliharaan dan pengurusan sumber semula jadi yang mampan.
"Selain Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Jabatan Perhutanan Perlis juga mengurus Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam dan Kompleks Ekopelancongan Taman Negeri Perlis yang turut menjadi nadi kepada pelancongan eko di negeri ini.
"Kutipan hasil melalui produk ekopelancongan tahun lalu di negeri ini adalah sebanyak RM1,295,188 dengan jumlah kemasukan pengunjung seramai 651,240 orang bagi pelancong tempatan dan 1,542 orang pengunjung antarabangsa.
Kehijauan alam
Beliau berkata, apabila pelancong atau pengembara tiba di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, pihaknya menyediakan tiga pilihan penginapan untuk mereka menikmati suasana semula jadi hutan simpanan iaitu chalet di Bukit Ayer Resort, glamping di Nakawan Glamping dan perkhemahan biasa di Nakawan Base Camp.
"Objektifnya adalah kita hendak menyediakan pengalaman berbeza kepada mereka di samping menikmati kehijauan alam sekitar di sekeliling kawasan ini dan dalam masa sama, soal keselamatan juga sangat dititikberatkan kerana kawasan ini juga turut mempunyai sistem kawalannya sendiri setiap masa.
"Inisiatif ini juga memberi impak positif kepada sektor ekopelancongan di negeri ini dan menjadi medan bagi mempromosikan kawasan pelancongan,"katanya.
Selain Nakawan Glamping, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat turut menyediakan pelbagai lokasi untuk melakukan aktiviti lasak dan riadah bersama keluarga seperti Taman Rimba Herba Perlis, Kompleks Basikal Lasak, Nak-Kawan Paintball dan Memanah, Kolam Renang Bukit Ayer, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, dan Pusat Rawatan Alternatif dan Spa.
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|