View: 14484|Reply: 0
|
Misteri kamar tingkat dua Berkeley Square, digelar antara lokasi paling berhantu
[Copy link]
|
|
Dumm! Bunyi tembakan menggemparkan penduduk pada tahun 1840 di kompleks perumahan 50 Berkeley Square di kota London. Sang penjaga berlari naik ke tingkat dua, menuju ke sebuah bilik yang menempatkan seorang pelajar berusia 20 tahun, Sir Robert Warboys.
Beberapa minit sebelum bunyi tembakan, si penjaga bilik sudah mendengar bunyi bising dari arah bilik didiami Robert yang hanya terletak di bahagian atas biliknya. Sampai di depan pintu bilik di tingkat dua itu, si penjaga terpaksa menghentam pintu sekuat hati untuk membukanya. Apabila pintu terbuka, apa yang disaksikannya sukar dipercaya.
Tubuh Robert yang sudah tidak bernafas terbaring kaku di sudut bilik sambil tangannya masih memegang erat pistol yang muncungnya masih berasap. Tiada sebarang kecederaan pada tubuh Robert. Tetapi, ekspresi wajahnya menakutkan. Matanya terbeliak, giginya terkatup rapat. Bagaikan melihat sesuatu yang amat menakutkan tatkala nyawanya melayang.
Suasana dalam bilik pula tidak berubah. Semua perabot tersusun rapi. Hanya sebuah lubang pada dinding bilik ditemui yang diakibatkan tembakan dari pistol Robert. Soalnya, siapa yang ditembak oleh pelajar itu? Apakah yang dilihatnya?
Tiada jawapan untuk persoalan itu. Sebelum kejadian, sudah ramai menasihatkan Robert agar tidak menempah maut untuk duduk di dalam bilik yang mendapat jolokan rumah berhantu itu. Tiada yang berani mahu mendiami bilik yang dikatakan keras dan penuh misteri tersebut.
Tetapi, dengan angkuhnya pelajar itu tidak mahu menerima nasihat kerana percaya tiada hantu dalam dunia ini. Dan hanya berbekalkan sebatang lilin dan sepucuk pistol, dia cuba bermalam di bilik tersebut. Sayangnya, dia menemui ajal tidak sampai sejam setelah masuk ke dalam bilik tersebut.
Kejadian aneh dua anak kapal
Robert Martin dan Edward Blunden, dua anak kapal yang sedang bersuka ria di bandar London pada 1887. Malam itu, setelah minum sehingga mabuk, kedua pemuda ini berjalan mencari tempat untuk bermalam.
Mereka masuk ke gedung perumahan Berkeley Square. Ketika itu, gedung perumahan ini sudah terbiar kosong, tiada penghuni. Mereka naik ke tingkat dua, masuk ke bilik yang sama pernah dimasuki Robert sebelum itu. Kedua pemuda itu tidur di dalam bilik tersebut.
Sejam kemudian, Blunden terjaga bila terdengar pintu bilik dikuak. Dia melihat ke arah pintu. Ya! Pintu bilik itu sudah terbuka. Dalam keadaan yang agak kelam itu, Blunden melihat satu lembaga aneh berwarna kelabu sedang merayap di atas lantai. Geseran lembaga itu dengan lantai menimbulkan bunyi yang menakutkan.
Blunden yang mula menggigil ketakutan segera mengejutkan Martin di sebelahnya. Sebaik terbangun, Martin juga ketakutan melihat lembaga aneh di depan mereka. Lembaga itu berada tepat di depan pintu bilik, satu-satunya jalan keluar dari kamar tersebut.
Dalam keadaan panik, Blunden cuba mencapai senapangnya yang diletakkan di tepi jendela. Saat itu juga, lembaga aneh itu melompat dan menerkam leher Blunden. Martin segera melarikan diri saat temannya itu sedang bergomol dengan lembaga tersebut.
Martin menjerit meminta tolong sehingga bertemu dengan anggota polis yang sedang berkawal di kawasan itu. Mereka datang semula ke bilik itu, tapi kosong. Blunden mahupun lembaga aneh tiada di situ.
Mereka cuba mencari di sekitar kawasan itu. Akhirnya ditemui mayat Blunden dengan keadaan tubuhnya yang tersiat-siat di bawah bangunan. Dikatakan Blunden jatuh dari jendela tingkat dua bilik itu.
Kematian Blunden masih misteri. Apa yang pasti, riak wajah mayat Blunden sama seperti Robert, matanya membulat, giginya terkatup seolah-olah sedang berdepan dengan sesuatu yang menakutkan.
Lembaga apakah itu?
Berbagai-bagai dakwaan muncul. Ada yang mengatakan lembaga itu tidak berbentuk pejal, sebaliknya seperti cecair likat. Tatkala ia bergerak, akan menghasilkan bunyi aneh. Ada pula yang mengatakan lembaga itu memiliki sesungut seperti sotong.
Kerana itu, timbul deskripsi lain yang membuat kesimpulan bahawa makhluk itu mungkin sejenis sotong gergasi yang telah bermutasi dan berhijrah dari Sungai Thames melalui saluran bawah tanah di kota London. Kononnya, makhluk ini mungkin sedang mencari kumpulan tikus dalam bangunan itu sebagai makanannya dan tanpa sengaja menemukan manusia yang mendiami bilik tersebut.
Tetapi, tiada bukti yang jelas menyokong fakta itu. Mustahil makhluk mutasi begitu boleh hidup mencapai lebih 200 tahun. Kerana itu, orang lebih percaya bahawa makhluk itu ada kaitan dengan supernatural yang tidak dapat dirungkai dengan logik akal.
Harry Price, antara orang yang membuat kajian tentang tempat ini sekitar tahun 1920-an. Hasilnya, beberapa spekulasi dikaitkan. Salah satu daripadanya, Berkeley Square pernah dijadikan markas pemalsuan dokumen sekitar tahun 1790. Oleh itu, pelbagai kisah misteri dimomokkan agar orang takut datang ke tempat ini bagi menutupi aktiviti haram tersebut. Namun, ia hanya sekadar spekulasi tanpa bukti kukuh.
Kisah gedung rumah empat tingkat era zaman Victoria yang dibina tahun 1740 memiliki satu kamar misteri di tingkat dua ini terus dikaitkan dengan pelbagai kisah aneh dan misteri. Tak kurang juga yang mengaitkan aktiviti Poltergeist di kamar tersebut. Sejak kejadian itu, tidak ada orang yang mahu menjejakkan kaki ke lantai dua kamar tersebut.
Bermula tahun 1938, bahagian bawah gedung rumah itu telah dijadikan sebuah kedai buku. Sekalipun tiada penampakan yang aneh sejak awal tahun 1900, tidak ada sesiapa dizinkan naik ke tingkat dua.
Sejak tahun 1950, satu polisi telah dikeluarkan dan ditampal di dinding bangunan tersebut. Ia berupa peringatan bahawa tingkat dua bangunan itu tidak boleh digunakan dan sesiapa tidak dibenarkan naik ke atas. Lokasi ini terus dikaitkan sebagai salah satu tempat paling berhantu di London.
SUmber: Utusan TV
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|