
KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 51 tahun tanpa niat, dalam satu kes tular di sebuah hotel di Batu Kawa di sini pada 2023.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Bong Ying Hao, 32, yang mengaku bersalah di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama 11 yang lain didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Oktober 2023 antara jam 12.30 tengah malam dan 1 pagi di tangga sebuah hotel di MJC Batu Kawa di sini.
Fakta kes mendedahkan pada hari kejadian, mangsa berusia 51 tahun (si mati) dikatakan mengganggu Ayu Abdullah, 27, di dalam bilik hotel tersebut dan ini menyebabkan suami Ayu, Ashley Austin Chin, 27, tidak berpuas hati.
Susulan itu, Ashley memanggil beberapa rakannya supaya pergi ke hotel itu dan bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai.
Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 November 2023.
Terdahulu sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh menerusi peguamnya, Jong Yee Ling, merayu dengan menyatakan bahawa dia menyesali perbuatan tersebut dan berhasrat untuk berubah serta tidak pernah berniat untuk insiden itu berlaku, sebaliknya ia berpunca daripada kesilapan penilaian dan pengaruh rakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid.
Untuk rekod, seramai 11 orang, termasuk tertuduh serta enam pesalah muda dan kanak-kanak berusia 15 hingga 17 tahun, dihadapkan ke mahkamah dalam kes ini, dengan kesemua pesalah bawah umur tersebut diperintahkan dihantar ke Sekolah Henry Gurney pada 8 Disember 2023.
Sementara Ayu Abdullah, 25, yang didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan iaitu bersubahat dengan suaminya, Ashley kerana menyebabkan kematian mangsa, dijatuhi hukuman penjara lima tahun, pada 16 November 2023.
Selain itu, Ashley (suami Ayu) dan Albert Chin Quan Yan, 24, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada 10 November 2023 manakala Hartley Tuntun Jerah, 35, dipenjara lima tahun pada 16 November 2023, kesemuanya selepas mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
|