
TUTUP: Salah sebuah PPS yang sudah ditutup selepas keadaan banjir semakin pulih.
KOTA KINABALU: Keadaan banjir di Sabah dilihat semakin pulih menjelang hari ketiga bencana itu melanda sejak Ahad lalu.
Berdasarkan kenyataan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, setakat jam 4 petang, seramai 3,411 mangsa masih ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah.
Katanya, jumlah ini semakin berkurangan berbanding 4,530 orang daripada 1,488 keluarga yang direkodkan sebelum ini.
“Beaufort masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 1,719 mangsa daripada 597 keluarga di tujuh PPS diikuti Membakut 914 orang daripada 312 keluarga di lima PPS.
“Tenom masih menempatkan 597 mangsa dari 236 keluarga di lapan PPS,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, semua PPS yang dibuka di Sook sudah ditutup selaras dengan pandangan dan cadangan daripada Jawatankuasa Bencana Daerah.
Keputusan penutupan ini diambil setelah pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) selamat untuk didiami.
|