
NOTA: Azam menyaksikan sesi Menandatangani Nota Kerjasama antara kedua-dua pihak.
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan memastikan setiap aspek tadbir urus bandaraya bebas daripada unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, seiring usaha kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato Sri Dr. Sabin Samitah berkata, usaha ini akan memastikan setiap prosedur dan dasar yang dilaksanakan oleh DBKK menepati prinsip akauntabiliti serta ketelusan.
“DBKK juga akan memperkasa usaha pencegahan rasuah dalam pentadbiran bandaraya dengan menekankan tiga teras utama iaitu memantapkan mekanisme pencegahan dan penguatkuasaan melalui pelaksanaan audit berkala, pemantauan sistem tadbir urus serta mewujudkan sistem pelaporan lebih berkesan bagi mengenal pasti dan menutup ruang kelemahan yang boleh dieksploitasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, SPRM diwakili oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata, sebagai tanda komitmen DBKK dalam memastikan keberkesanan Nota Kerjasama ini, beberapa inisiatif utama akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Ini termasuklah penyaluran maklumat berkaitan kes salah laku kepada SPRM, bagi memastikan tindakan lebih pantas dan berkesan dapat diambil mengikut prosedur ditetapkan.
“DBKK juga akan memperkenalkan sistem pengaduan dalaman secara atas talian, bagi membolehkan warga DBKK membuat laporan berkaitan isu integriti secara lebih selamat, telus dan rahsia.
“Selain itu, DBKK dan SPRM juga akan menjalinkan kerjasama strategik dalam pemantauan tadbir urus, bagi memastikan semua amalan pengurusan dan pelaksanaan dasar menepati piawaian tertinggi dalam aspek ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK, Datuk Abidin Madingkir berkata, pemeteraian Nota Kerjasama ini bukan hanya satu tindakan simbolik, tetapi ia adalah satu deklarasi bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan integriti dan ketelusan.
Beliau berkata, Kota Kinabalu, sebagai pusat pentadbiran dan ekonomi utama Sabah, harus menjadi model kepada semua bandaraya lain dalam mengamalkan tadbir urus yang terbaik.
|