Mangsa ditempatkan di dua PPS di Miri terus dibantu, pastikan kebajikan, keselamatan mereka terjaga

Fatimah ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 hari ini. -Gambar Chimon Upon
“Saya rasa kadar bantuan makanan sebanyak RM50 sehari ini sangat baik kerana ia dapat membantu mangsa menghadapi situasi sukar ini.”
Dato Sri Fatimah Abdullah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti
Oleh Marlinda Mardzuki
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Miri, bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjaga.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan yang disediakan merangkumi tempat tinggal di PPS, makanan serta pemantauan kesihatan.
Malah katanya, kerajaan turut menaikkan kadar bantuan makanan kepada RM50 sehari bagi setiap mangsa sebagai langkah memastikan keperluan mereka mencukupi.
“Saya rasa kadar bantuan makanan sebanyak RM50 sehari ini sangat baik kerana ia dapat membantu mangsa menghadapi situasi sukar ini.
“Di PPS, kita juga mempunyai jawatankuasa khas yang bertanggungjawab memantau kesihatan mangsa bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik.
“Jadi, kita bekerja sebagai satu pasukan untuk menjamin keselamatan mereka, memastikan bekalan makanan mencukupi serta memberi perhatian kepada aspek kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 di Majma Mall di sini, hari ini.
Selain itu, Fatimah berkata kerajaan turut menyediakan aktiviti khas untuk kanak-kanak di PPS bagi mengelakkan mereka berasa bosan semasa berada di PPS.
“Apabila ibu bapa melihat anak-anak mereka riang, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kegelisahan dan tekanan yang mereka alami.
“Ini secara tidak langsung membantu ibu bapa menguruskan emosi mereka sepanjang berada di PPS,” tambahnya.
Sementara itu, ditanya sama ada sesi kaunseling untuk mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri yang berlaku pada Januari lalu masih diteruskan, Fatimah mengesahkan bahawa sesi tersebut masih berjalan seperti biasa.
“Ia masih diteruskan secara berkala mengikut prosedur yang ditetapkan,” ujarnya.
|