
Fatimah menyampaikan sumbangan kepada penerima pada perasmian Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Seramai 4,465 penerima bantuan bulanan kebajikan di bahagian Kuching menerima sumbangan menerusi Program Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 bagi meringankan beban kewangan menjelang sambutan Hari Raya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sumbangan ini diberikan kepada penerima bantuan beragama Islam dengan jumlah peruntukan sebanyak RM446,500.
"Program Sejambak Kasih Aidilfitri ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Ia juga membantu meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di pekarangan Pusat Beli-Belah Majma di sini, hari ini.
Daripada 4,465 penerima di Bahagian Kuching, Fatimah berkata, seramai 150 individu hadir pada majlis Sejambak Kasih Aidilfitri hari ini.
"Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM100 serta hamper barangan makanan bernilai RM80.
Fatimah berpelukan mesra dengan para penerima pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon
"Sementara bagi yang tidak dapat hadir, sumbangan akan dikreditkan terus ke akaun mereka masing-masing," jelasnya.
Selain sumbangan Aidilfitri, Fatimah turut memaklumkan JKM Sarawak telah menyalurkan RM49.2 juta kepada 54,384 penerima bantuan bulanan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini.
"Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan," katanya.
Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan dua insentif penting kerajaan negeri, iaitu Kenyalang Gold Card (KGC) untuk warga emas serta kad orang kelainan upaya (OKU) kepada penerima yang layak.
Selain itu, empat wakil daripada empat keluarga yang terjejas akibat kebakaran rumah di Kampung Tabuan Lot pada 5 Mac lalu, yang mengakibatkan 38 mangsa kehilangan tempat tinggal, turut hadir bagi menerima bantuan kebajikan.
Fatimah berkata, kerajaan telah menyalurkan RM11,700 dalam bentuk bantuan makanan kering, kelengkapan tidur, dan peralatan dapur.
Selain itu, bantuan berbentuk wang saku, pakaian harian, pakaian sekolah, serta peralatan sekolah berjumlah RM18,400 turut diberikan kepada mangsa bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu selepas tragedi tersebut.
"Justeru, kita berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana menyediakan bantuan sebegini yang sekali gus dapat meringankan beban rakyat yang terjejas. "Sukar untuk kita mencari kerajaan yang begitu prihatin terhadap rakyat yang ditimpa musibah seperti kebakaran," ujar Fatimah.
|