CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3080|Reply: 0

[Sarawak] Empat operasi PGA Sarawak catat rampasan RM13.5 juta

[Copy link]
Post time 12-3-2025 12:02 PM | Show all posts |Read mode


Pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok belum lulus cukai Kastam di Sibu. - Gambar PGA Briged Sarawak

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis rokok, minuman keras dan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM13.5 juta dalam empat operasi berasingan pada 9 dan 10 Mac lalu.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata, kejayaan terbesar adalah Ops Taring Alpha 1 oleh Cawangan Risik dan Batalion 10 PGA Sibu.

Menurutnya, ia melibatkan serbuan ke atas sebuah premis di Sibu yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan rokok belum lulus cukai kastam.

“Hasil serbuan sekitar jam 5.30 petang itu membawa kepada penemuan kira-kira 18,000 karton rokok putih pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM7.9 juta (mengikut harga pasaran).

“Rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.


Makanan sejuk beku yang ditemui disimpan di satu premis di Sibu. - Gambar PGA Briged Sarawak

Sementara itu, kes kedua terbesar juga dilaporkan di Sibu, iaitu melibatkan serbuan ke atas sebuah premis yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan pelbagai jenis makanan sejuk beku.

“Dalam serbuan ini, kita telah berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur lingkungan 36 hingga 65 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui sebanyak 25,039 kilogram (kg) ayam sejuk beku dan 350kg daging sejuk beku dalam premis tersebut,” katanya.

Siasatan awal mengesyaki makanan sejuk beku tersebut disimpan tanpa permit yang sah.

“Susulan itu, kesemua makanan sejuk beku tersebut dirampas dan turut disita dua kontena, dua jentera angkat susun, tiga lori dan sebuah van yang keseluruhannya dianggarkan mencecah RM2.3 juta,” katanya.

Rampasan dan tangkapan telah diserahkan Jabatan Veterinar Cawangan Sibu untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.


Rokok yang disyaki belum lulus cukai kastam dirampas selepas ditemui disembunyikan di sebuah premis di Betong. - Gambar PGA Briged Sarawak

Manakala rampasan ketiga terbesar dilaporkan di Betong oleh Cawangan Risik Batalion 23 PGA Sri Aman yang menjalankan serbuan ke atas dua premis yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras yang belum lulus cukai kastam.

“Pasukan serbuan telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 50 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemui sebanyak 2,169 karton rokok putih dan 3,326.4 liter minuman keras pelbagai jenama dalam kawasan tersebut.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.7 juta (mengikut harga pasaran),” katanya.

Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak IPD Betong untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Operasi keempat pula dilaporkan di Limbang, di mana satu serbuan telah dilakukan oleh Cawangan Risik Kompeni C Batalion 12 PGA Limbang ke atas sebuah premis yang disyaki dijadikan tempat menyimpan rokok belum lulus cukai kastam.

“Pasukan serbuan telah berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 28 dan 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui sebanyak 2,550 karton rokok putih dan 350 karton rokok keretek pelbagai jenama dalam premis tersebut yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta (mengikut harga pasaran),” katanya.

Tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada IPD Limbang untuk tindakan dan siasatan lanjut, katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-3-2025 08:03 PM GMT+8 , Processed in 0.060723 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list