|
Harith, Douglas berganding tenaga jayakan sketsa komedi\rMEMANG sukar untuk membuatkan penonton terhibur dengan persembahan berbentuk sketsa komedi, tetapi itulah yang perlu dihadapi Harith Iskander dan Douglas Lim. \r\n\n\n\n\rSebagai penghibur, sesukar mana pun tugas dipikul, mereka berusaha memastikan setiap jenaka yang dipersembahkan bukan saja membuatkan penonton ketawa, malah persembahan berkenaan harus mempunyai mesej supaya ia tidak dilihat lawak kosong.\r\r\n\n\n\n\nHanya menerusi pembacaan mereka berasakan matlamat itu dapat dicapai. Dengan membaca, mereka bukan saja boleh membentuk penceritaan, sebaliknya elemen jenaka juga dapat disuntik sama.\rBagi Douglas, gandingannya bersama Harith dalam persembahan HD Stand Up Comedy di Petaling Jaya Live Arts (PJLA) yang bermula 17 hingga 19 Mei menyajikan persembahan menarik dengan sketsa yang mampu mencuit hati.\rWalaupun hanya berbentuk penceritaan, namun dia yakin gandingan mereka dapat memberikan persembahan luar biasa di samping menyampaikan mesej terkini sebagai hiburan.\r“Memang lawak begini lebih sukar berbanding sitkom atau drama komedi sebab ia tidak mempunyai skrip. Kita kena reka sendiri. Justeru, melalui bacaan, dengan mengambil cerita atau berita yang ada dalam akhbar, dapat juga kita membentuk satu komedi.\r\n\n\n\n\r“Bagaimanapun tidak semua yang kita rancang akan berlaku dalam persembahan. Kadang-kadang penggunaan ayat yang tidak sepatutnya juga akan terkeluar secara spontan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.\rSebelum ini, katanya, Harith menjayakan persembahan itu seorang diri. Kali ini, dia dipilih untuk bergandingan dengannya, yang membuatkan pemuda ini berbesar hati.\r“Kami sudah kenal lama, jadi ia tentunya sedikit sebanyak memudah kerja. Pembabitan saya dalam Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) baru-baru ini pun atas usaha Harith dan Hans,” katanya.\rKeserasian kedua-dua mereka diakui sejak terbabit dalam sitkom Jangan Ketawa suatu ketika dulu, malah gandingan ini juga dijangka mampu membuatkan penonton tidak kering gusi.\rHarith sendiri mengakui pemilihan Douglas dalam sketsa itu nanti dapat membantunya menghidupkan suasana yang mencuit hati serta meninggalkan memori buat penonton yang hadir.\r“Tahun lalu saya berseorangan di pentas, namun sambutan sangat luar biasa diberikan peminat sampaikan tiket habis dijual. Diharapkan, dengan adanya Douglas, persembahan ini akan lebih mendapat sambutan. Maklum balas daripada penonton yang pernah menonton saya pada tahun lalu juga sangat menggalakkan,” katanya.\rBagi Harith, sketsa sebegini tidak memerlukan skrip. Bagaimanapun menerusi pembacaan, mereka dapat tahu apa yang berlaku seharian dan perkara itu membantu dalam menyampaikan persembahan.\rBahkan, setiap sketsa akan jadi lebih menarik dan kelakar apabila menyentuh isu semasa.\r“Persembahan kita akan jadi kelakar kalau menyentuh isu semasa seperti isu pilihan raya di Sarawak yang kita adun menjadi lebih menarik.\r“Isu peribadi juga akan terkeluar walaupun kita cuba mengelak, tetapi kita akan cuba kawal dan jadikannya lebih menghiburkan. Maklumlah inikan stand up comedy, tak ada skrip,” katanya.\rSetelah 20 tahun terbabit dalam bidang komedi, Harith mengakui banyak yang perlu diperbaiki dalam persembahannya supaya sentiasa mengikut cita rasa penonton dan tidak hambar.\rMenunggu cahaya mata\rMESKIPUN agak sibuk selepas berkahwin, namun Harith mengaku dia berusaha memastikan dirinya mempunyai masa buat isteri tercinta. Ketika yang sama dia mengaku masih menanti cahaya mata yang dianggapnya penyeri sesebuah rumah tangga.\rWalaupun sudah hampir setahun mendirikan rumah tangga, Harith tidak sabar untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa, malah melihat telatah kanak-kanak membuatkan dirinya keriangan.\r“Siapa yang tak mahu anak dan sehingga kini saya masih lagi menanti, tetapi nak buat macam mana belum ada rezeki.\r“Insya-Allah rezeki saya akan ada, cuma tak tahu bila. Paling penting, saya sekarang bertambah bahagia sejak berkahwin dan semakin sibuk,” katanya.\rJika sebelum ini dirinya sibuk dengan pementasan LKBSM, Jun ini Harith, 44, dan isteri, Jezzamine Lim, 27, akan berbulan madu kali kedua. Kali ini mereka memilih Mauritius sebagai destinasi percutian. \rTentunya dia ingin menggunakan kesempatan itu untuk berehat sepuas-puasnya. Lebih-lebih lagi, tugasnya semakin sibuk selepas ini dengan persiapan mengadakan muzikal Cuci musim ketiga pada tahun hadapan, bersama Hans.\r“Melihat kejayaan LKBSM yang pecah rekod, dengan hampir setiap hari dewan dipenuhi peminat, membuatkan kami seronok untuk mengadakan persembahan lain,” katanya.\rKetawa selama sebulan di PJLA\rDENGAN adanya PJLA, penghibur ini berasakan ruang untuknya bergiat dalam persembahan komedi semakin besar. Malah sejak dibuka dua tahun lalu, PJLA menjadi platform terbaik untuk mengangkat persembahan komedi ke tahap lebih baik.\rBukan saja Harith, malah barisan penghibur komedi tempatan turut diberi peluang untuk mengadakan persembahan di lokasi ini, di samping mempromosikan komedi sebagai hiburan santai buat masyarakat.\rMalah, bagi peminat sketsa komedi atau pementasan berunsurkan komedi, mereka berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan di PJLA selama sebulan bermula 28 April lalu hingga 5 Jun ini.\rPJLA membuka pentasnya kepada penonton dengan pelbagai sajian sketsa komedi menarik dengan harga tiket berpatutan.\rSelain HD Stand Up Comedy, persembahan yang dijangka mendapat sambutan hangat penggemar komedi adalah Projek Disko Baldi, Actorlympics dan Kuah Jenhan: Tall, Dark & Comedian.\rActorlympics dijangka mencuri perhatian peminat kerana menampilkan pelakon seperti Afdlin Shauki, Harith Iskander, Nell Ng, Rashid Salleh, Ida Nerina, Patrick Teoh, Kuah Jenhan, Douglas Lim dan Reza Zainal Abidin.\rMaklumat lanjut boleh didapati di www.pjla.com.my atau hubungi talian Box Office 03-7960 0439 untuk mendapat tiket persembahan.\rPersembahan komedi di Petaling Jaya Live Arts (PJLA):\r1. Sticks, Stones, Broken Bones (Kanada) - 10-15 Mei\r2. HD Stand Up Comedy - 17-19 Mei\r3. KAM... Fully Loaded! - 20 - 22 Mei \r4. Jumping Jellybeans Party! - 24-27 Mei\r5. Comedy Court - 24-25 Mei \r6. The Comedy Club Asia - 26 Mei \r7. Kuah Jenhan: Tall, Dark & Comedian - 27-28 Mei \r8. Projek Disko Baldi - 28-29 Mei \r9. Actorlympics - 31 Mei-2 Jun \r10. Shelah Says Life’s A Drag - 3-5 Jun
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|