|
PERKATAAN cinta, kasih, rindu dan sebarang kalimat yang membawa konotasi perasaan romantis itu seolah-olah menjadi perkara wajib dalam memberi judul bagi sesebuah novel Melayu.\rKecenderungan itu dianggap faktor pelaris dalam penjualan novel sama seperti tanggapan nama feminin lebih menarik pembaca berbanding nama berbau maskulin.\r\n\n\n\nDua faktor inilah yang dianggap memberi kesan dalam melonjakkan jualan sesebuah novel sehingga ‘tersangkut’ dalam senarai buku laris di pasaran dalam tempoh yang lama.\r\rBarangkali faktor ini juga yang memancing minat pengarang urban, Amir Muhammad, apabila menerbitkan tiga judul novel di bawah label syarikat penerbitan barunya, Buku Fixi.\r\n\n\n\n\n\rBeliau mendedahkan hal itu pada Wawancara Sofa Putih Bersama Amir Muhammad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.\rBagaimanapun, pengarang yang pernah mencetuskan kontroversi melalui filem pendek, Lelaki Komunis Terakhir itu, ‘berdegil’ untuk tidak menggunakan dua perkara terbabit, sebaliknya menguji pasaran dengan unsur urban.\rAmir mengakui beliau terpanggil untuk memulakan projek novel urban itu apabila menghadiri Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2010 di Kuala Lumpur, pada tahun lalu.\r“Penganugerahan itu antara lainnya membabitkan penilaian dan penobatan 10 novel dalam bahasa Melayu yang termasuk dalam carta laris di pasaran.\r“Saya dapati daripada 10 novel yang disenaraikan, sembilan judul menggunakan perkataan cinta atau kasih sehingga terdetik dalam hati untuk membuat kelainan,” katanya pada sesi yang dipengerusikan pengacara televisyen, Syed Munawar Syed Mustar.\rNamun, kelainan yang dimaksudkan Amir itu juga sebenarnya menggunakan pendekatan popular apabila tiga judul yang baru diterbitkan adalah novel bertema sosial dan jenayah yang ditulis secara ringan serta dialognya banyak menggunakan kata pinjaman dalam bahasa Inggeris.\rIa juga bergerak daripada tema mudah termasuk merakam gejala sosial seperti keganasan rumah tangga, kecurangan dan gaya hidup bebas, tetapi tidak menyenakkan pembaca dengan pemikiran yang berat.\rBegitu juga, gaya penceritaan novel Fixi yang laju kerana pengarang tidak terlalu memberikan tumpuan kepada latar dan suasana dengan teknik babakan, sekali gus sama dengan gaya novel popular sedia ada.\rHal itu diakui sendiri oleh Amir apabila meluahkan kehendaknya dalam pemilihan manuskrip yang dihantar oleh penulis ketika mengiklankannya di laman web sosial, Facebook.\r“Saya mahu karya yang boleh dibaca secara langsung dan bercerita di depan mata yang apabila membacanya, seolah-olah membaca mengenai kehidupan individu yang kita kenal atau gosipkan.\r“Saya lebih suka karya begitu berbanding novel yang bermain dengan kata-kata, sekali gus lari daripada imej karya sastera sebegitu,” katanya.\rBagaimanapun masih banyak yang perlu dibuat sekiranya Buku Fixi mahu tampil dengan gaya urban berbeza dengan kebanyakan novel popular yang rata-ratanya turut meminjam latar kota raya dan juga memanfaatkan unsur kehidupan sosial masyarakat bandar.\rLabel urban lebih besar daripada hedonisme dan gaya hidup membeli-belah, restoran segera dan kafe kopi serta teknologi komunikasi, sebaliknya ia sewajarnya menyelongkar nilai baru dan fahaman hidup pasca-moden yang muncul di sebalik proses urbanisasi.\rMalah, karya urban juga sewajarnya melihat urbanisasi yang memunculkan generasi baru terlepas daripada akar tradisi bangsa dan meminjam trend hidup semasa, selain menyorot pelbagai sisi daripada kehidupan masyarakat kota.\rSehingga konsep itu berjaya diadun dalam judul di bawah label Buku Fixi, mungkin perbezaan yang ketara padanya setakat judul tanpa cinta dan kasih serta memberi peluang kepada pengarang lelaki untuk menerbitkan novel sulung mereka.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|