|
Syarikat mahu kukuh lagi operasi di Indochina\rTAN Chong Group menyasarkan Myanmar untuk mengembangkan perniagaan automotifnya dan mengukuhkan lagi operasinya di Indochina, kata Penasihat Kanan Kumpulannya, Datuk Cheah Sam Kip.\r\n\n\n\n\r \"Kami akan memulakan perniagaan kami di Myanmar dengan pusat perkhidmatan automotif dan ia akan menjadi batu loncatan untuk membangunkan perniagaan lain di negara itu,\" katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dua kenderaan Nissan kepada Zoo Negara, di Kuala Lumpur, kelmarin.\r\r\n\n\n\n\n Cheah berkata, permohonan kepada kerajaan Myanmar sudah diserahkan dan ia kini sedang menunggu kelulusan.\rKumpulan itu yakin mendapat kelulusan tahun ini, katanya.\rBeliau berkata, Indochina akan menjadi tumpuan utama Tan Chong Group untuk mengembangkan operasinya berikutan landskap automotif yang kompetitif di Malaysia, sambil menambah kumpulan itu juga sudah memulakan pelan pengembangan agresif di Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.\rTan Chong Group, yang terdiri daripada Tan Chong Motor Holdings Bhd, Warisan TC Holdings Bhd dan APM Automotive Holdings Bhd, telah berkembang daripada pengedar kereta penumpang kepada pengeluar kereta, pengeluar dan pengedar alat ganti serta perniagaan kelengkapan industri berat dan perkhidmatan selepas jualan.\r\n\n\n\n\rPada majlis kelmarin, Tan Chong Group juga secara rasminya menjadikan burung botak upeh sebagai burung angkatnya yang mana burung berkenaan dikategorikan sebagai spesies yang terdedah kepada bahaya oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi dan Hidupan Burung Antarabangsa.\rZoo Negara membiak dan melepaskan ke hutan Malaysia lebih 200 burung itu daripada hanya 10 yang dikesan masih hidup sebelum ini.\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|