CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 138|Reply: 0

Kekalkan semangat Ramadan

[Copy link]
Post time 25-8-2011 11:05 AM | Show all posts |Read mode
Kegiatan memakmurkan masjid, bersedekah wajar dijadikan amalan hidup masyarakat setiap masaBUKAN satu kejutan apabila rumah ibadah umat Islam semakin lengang di hujung Ramadan. Ia berulang setiap tahun apabila masing-masing mula sibuk melangsaikan pelbagai urusan sebelum bercuti panjang untuk berhari raya di kampung halaman bersama ibu bapa dan sanak saudara.\rWalaupun ia bukan alasan kukuh untuk mengecualikan diri daripada solat berjemaah atau bersama ahli qariah yang lain dalam urusan ibadah, tetapi setiap alasan ada rasionalnya, kita hanya perlu berbaik sangka. \r\n\n\n\n\rPaling utama, walaupun tidak menjadi makmum di masjid, bapa perlu mengambil peluang menjadi pemimpin solat, tadarus dan qiamullail anak serta isteri di rumah. Inilah semangat Ramadan yang jelas terlihat, banyak perkara dilakukan secara berjemaah, terutama bersama ahli keluarga.\r\r\n\n\n\n\nJika sebelumnya, solat dan mengaji dilakukan secara individu, lain pula di bulan Ramadan. Ahli keluarga juga merancang menu, memasak dan makan bersama apabila sampai waktunya. Kesepakatan juga ketara dalam urusan lain seperti pemilihan tempat untuk berhari raya dan persediaan material menyambut Syawal.\rTidak ketinggalan, dalam urusan ibadah lain seperti bersedekah dan menunaikan umrah. Pada Ramadan, ramai mengambil kesempatan untuk turut berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan. \rBukan setakat zakat fitrah, beras seguni dan gula sekampit juga menjadi buah tangan, selain juadah berbuka puasa. Ini masanya umat Islam menginsafi sifat pemurah Rasulullah SAW dan sahabat yang bersedekah harta tanpa bimbang atau risau akan kekurangan keperluan ahli keluarga sendiri.  Mereka yakin pemilik rezeki akan menjaga mereka seperti dijanjikan-Nya. \rJika sebelum ini mereka tidak pernah menziarah makam Rasulullah SAW dan sahabat atau bersolat di Tanah Haram, Ramadan menghantar mereka ke sana. Ini semangat Ramadan, sinarnya mencerahkan kehidupan dan bahangnya menghangatkan jiwa  supaya semakin kuat untuk kembali kepada ajaran-Nya.\r\n\n\n\n\rSemangat ini harus dikekalkan selepas Ramadan. Biarpun Syawal meriah dengan juadah, mereka yang kekurangan tidak boleh terus dibiarkan susah. Amalan bersedekah sepanjang Ramadan mesti diteruskan secara konsisten. \rSepanjang Syawal, ia boleh dilakukan dengan memberi wang, biskut, kuih muih, baju dan kelengkapan raya yang lain. Tidak lupa juga bermurah hati menjenguk muka menziarah mereka yang sebatang kara. \rKetika  sibuk dengan sanak-saudara, mungkin bertandang ke rumah orang tua atau anak yatim akan memberikan kita peringatan bukan sedikit. Golongan kanak-kanak juga akan belajar menghargai rezeki yang mereka miliki selain berpada-pada dengan nikmat daripada Ilahi. \rAnak akan mendapat manfaat dari tarbiah amali ini dan secara tidak langsung ibu bapa berpeluang mengambil kesempatan mengajar anak bersyukur.\rRamadan yang mengakrabkan umat Islam dan masjid haruslah menjadi permulaan sebuah kehidupan lebih baik. Jika bulan lain kita sentiasa mempunyai helah untuk berjemaah atau memeriahkan program komuniti memakmurkan masjid, Ramadan membuka pintu luas untuk individu Muslim mengunjungi rumah Allah di mana saja.\rAlangkah indah andai masjid dapat terus dimakmurkan dengan jemaah, kesepakatan qariah dan semangat golongan muda yang menjadikan masjid sebagai rumah kedua dikongsi sesama saudara seagama. \rSemangat Ramadan yang menyatukan ibu bapa dan anak dengan pelbagai aktiviti sosial serta ibadah sesuai menjadi bekal untuk terus menjadikan institusi kekeluargaan pusat syura utama.\rKesepakatan dan kerjasama yang jitu antara suami isteri harus menjadi asas pembinaan rumah tangga yang utuh dan terus diperteguhkan oleh anak yang dibimbing dengan tarbiah sama.\rAmalan menziarahi ibu bapa dan sanak saudara pada Ramadan dan Syawal untuk berbuka puasa serta berhari raya pula elok dilakukan sepanjang tahun jika ada kelapangan. Tentu yang muda perlu mengunjungi yang lebih berusia.\rApatah lagi anak yang sudah lama tidak bersua muka dengan orang tua atau sebaliknya, inilah waktunya paling tepat menggantikan masa yang berlalu tanpa perhatian kasih sayang kepada mereka. Semangat ini harus berpanjangan supaya sifat takwa ditanam oleh Ramadan subur merimbun sehingga Ramadan seterusnya.\rMemang tidak mudah untuk mengekalkan semangat Ramadan sampai bila-bila, apatah lagi jika ia tidak dilakukan oleh setiap umat Islam, tetapi ambillah sebahagian daripadanya. \rSekurang-kurangnya ada sesuatu yang lebih baik boleh dipertahankan untuk meningkatkan takwa diri sehingga bertemu Ramadan akan datang. Bayangkan jika saban tahun begitu, bukankah setiap individu Muslim akan lebih baik dari dulu.\rPenulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom\r

[Posting Asal]                [Kembali ke Berita Rakyat]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2025 04:24 PM GMT+8 , Processed in 0.059526 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list