|
Dunia birokrat terlalu kuat mencengkam pengarang\rINFO: Suara Dari Cikini\r\n\n\n\nPengarang: A Aziz Deraman\rHalaman: 106\rPenerbit: Penerbitan Minda (M) Sdn Bhd\r\n\n\n\n\nHarga: RM18\rMENYELAK helaian Suara Dari Cikini karya Datuk Abdul Aziz Deraman atau lebih dikenali sebagai A Aziz Deraman, kita dapat mengesani latar dunia birokrat lebih kuat mencengkam berbanding jiwa kepenyairan pengarang.\rIni tidak menghairankan kerana A Aziz boleh dianggap sebagai antara segelintir permata sastera yang muncul daripada lembah yang menumbuhkan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).\rLatar itulah yang mungkin membentuk gaya kepenyairan A Aziz yang cenderung prosaik dan kadangkala membawa nada propaganda seperti yang dikesani pada sebahagian puisi dalam Suara Dari Cikini terbabit.\r\n\n\n\n\rSifat itu agak mengganggu pembaca untuk menikmati puisi yang sepatutnya merakam perjalanan luar biasa penyair ke tanah seberang, Indonesia yang bermula seawal 1976.\rIni dapat dikesan pada puisi Dari Kota ke Kota yang merakamkan: ‘bijak siasah membawa sejahtera kehidupan/dirgahayu rakyat tegak di tapak peradaban!’\rApatah lagi puisinya menyentuh institusi bahasa seperti Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA); Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan Forum Penerbitan Serantau (FOKEPS) seperti dalam Anak-anak Kita: ‘akan hidup subur bahagia tamadun/tersohor kita bangsa serumpun/baik indah budi gembira warga/sama berarak ke pentas dunia.’\rBagaimanapun seandainya kita memendamkan suara propaganda itu, kita dapat menikmati warna-warni budaya dan rempah-ratus seni yang bertaburan di setiap pelosok Indonesia.\rIni kerana puisi A Aziz mengekori perjalanannya ke Jakarta, Bogor, Bandung, Yogyakarta, Semarang, Solo, Surabaya, Bali, Makassar, Manado, Mataram, Balikpapan, Banjarmasin, Pontianak, Palembang, Pekan Baru, Medan, Padang, Bukit Tinggi, Pagar Ruyung, Batu Sangkar, Tanjung Balai dan Aceh.\rRakaman puitis itu kemudian diabadikan dalam kumpulan puisi, Bahtera Madani, Gapura Diri, Bicara Kasih dan Zaman Baru sebelum 68 puisi disaring untuk dimuatkan dalam sajak kembaranya, Suara Dari Cikini terbabit.\rMalah, kita juga akan dikejutkan dengan beberapa potongan yang cepat menusuk kalbu seperti dalam puisi Eva: ‘Jika sudah tahu nikmatnya beriman/umpat keji tak berdampak buat kita’, iaitu mengenai selebriti yang membina keinsafan lalu membangunkan pesantren tetapi dicurigai perbuatan murninya.\rRasa yang sama juga seolah-olah menggigit perasaan apabila membacakan puisi yang mengenang pemergian ibunya dalam Bonda: hatta kauhulur dari tanganmu seulas nangka/tidak terganti oleh seluruh manusia.\rSelain itu, puisi Seabad Soekarno boleh dianggap puisi terbaik kerana ia dapat mengaitkannya dengan tanah air sendiri tentang kemeriahan sambutan ulang tahun kelahiran negarawan Indonesia yang ke-100 tahun itu: Apakah meriak iktibar dari arus sejarah?/kalau tidak kita rentangkan secara jernih/kita dampingi dan lihat dari segala sisi. \rIni kerana di sebalik sambutan terhadap jasa dan sumbangan Soekarno menyatukan bangsa Indonesia, A Aziz meminta jangan lupa pula melupakan ‘dosa’nya kepada: Bung Shahrir meringkuk dari penjara ke penjara/meninggalkan kita tanpa diproses secara hukum/Prawoto, Natsir, Burhanuddin, Kasman, Syafruddin/sama semua, mendekam, jiwa raga terguling/dengan kisah-kisah sepi, tiada pengadilan, tiada prihatin.\rSebagai mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), A Aziz juga tidak dapat lari daripada menyentuh isu bahasa seperti Adalah Bahasa: ‘Pengaruhnya bicara/tidak akan berguna/menjelajah budaya/jika tidak di anjung kuasa.’\rPengalaman sebagai birokrat bahasa dan sastera yang disulami dengan latar kepenyairan itulah yang sebenarnya memberikan keistimewaan kepada kumpulan puisi Suara Dari Cikini, sekali gus mengingatkan kita terhadap ‘kekontangan’ dunia tadbir di negara ini yang tidak lagi dapat melahirkan pengarang dan penyair seperti A Aziz.\rInfo Penulis: Tokoh bahasa, budaya dan kesusasteraan\rDATUK Abdul Aziz Deraman atau lebih dikenali sebagai A Aziz Deraman, dilahirkan di Kampung Baru, Pasir Puteh pada 23 Julai 1948, berpengalaman luas dalam pentadbiran kebudayaan, kebahasaan dan kesusasteraan.\rBeliau berkhidmat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sehingga menjawat sebagai Ketua Pengarah Kebudayaan, sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\rBeliau bukan hanya bertindak sebagai birokrat budaya, bahasa dan sastera, bahkan menterjemahkan fikirannya dalam bentuk penulisan seperti Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia, Intelektualisme Budaya serta Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia.\rSebagai penyair pula, A Aziz menghasilkan kumpulan puisi Kau dan Aku, Bahtera Madani, Gapura Diri, Bicara Kasih, Zaman Baru dan Mahligai Kencana, manakala Bahtera Madani pula diterjemahkan ke bahasa Russia.\rBeliau turut menerima Anugerah Tokoh Persahabatan Malaysia-China pada 2004; Anugerah Pencetus MASTERA (2005) dan Tokoh Budaya Kelantan (2006).\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|