CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 181|Reply: 0

Godam: Ketupat Mogadishu, lemang Kuala Lumpur

[Copy link]
Post time 8-9-2011 11:05 AM | Show all posts |Read mode
ENTAH mengapa berita kematian jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, di Somalia, Jumaat lalu, ketika umat Islam seluruh dunia sedang meraikan Syawal menyebabkan air mata bergenang di tubir mata penulis.\rGelagat penulis mengundang tanya teman serumah, “Kenapa menangis? Kenal ke Allahyarham Noramfaizul?” dan pertanyaan itu disambut dengan jawapan, “Tak kenal, tapi kematiannya menyentuh kalbu kerana kebetulan kami berada dalam industri yang sama.”\r\n\n\n\n\r“Dunia kewartawanan tempatan yang sering dipandang lekeh sesetengah masyarakat negara ini kerana belum ada teman yang ‘gugur’ ketika membuat liputan di zon berbahaya mahupun bencana alam sehingga tidak ramai yang tahu asam garam mahupun jerih payah kami.\r\r\n\n\n\n\n“Bukan itu saja, aku sendiri pun pernah dilayan dengan nada sombong sesetengah orang politik pada zaman awal kewartawanan dulu, ketika mereka belum apa-apa lagi dalam dunia kepimpinan tanah air. ‘Habuan’ itu diterima hanya kerana terlupa menyematkan kad pengenalan media massa di dada.\r“Paling tak boleh aku lupa apabila seorang pengurus perhubungan awam sebuah badan berkanun ‘menyergah’ penulis ketika diarah majikan membuat liputan dengan kata-kata, “Kami tak ada makan tengah hari untuk media.” sedangkan penulis ketika itu hanya bertanya acara bermula jam berapa dan tempat bakal berlangsungnya acara.\rBagaimanapun penulis akhirnya tahu juga mengapa diserah sedemikian kerana apabila sedekad kemudian, menerima seorang editor yang didatangkan daripada badan berkanun terbabit dan antara kata-katanya yang tak mungkin penulis lupakan sehingga ke akhir hayat ketika mengarahkan penulis membuat liputan, “Pergilah. Mereka siapkan makan tengah hari.” dan dalam hati penulis berkata sendiri, “Ingat aku kebulur ke? Setakat nak makan masih ada duit sendiri dan tak perlu mengharapkan tugasan yang diberikan editor. Aku bukan free loader.”\rPeristiwa serangan hendap di Mogadishu itu, turut mengingatkan penulis ketika membuat liputan di Colombo, Sri Lanka, pada Ogos 1996, juga liputan luar negara pertama selepas berkhidmat 10 tahun di Berita Harian.\r\n\n\n\n\rPemergian penulis atas jemputan Perbadanan Pelancongan Sri Lanka selepas gerabak kereta api di ibu negara Sri Lanka itu diserang hendap pengebom bunuh diri kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bertujuan membersihkan imejnya sebagai negara pelancongan.\rRasa bimbang penulis untuk ke Sri Lanka menjadi-jadi apabila akhbar di Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura, membatalkan pemergian wartawan mereka atas faktor keselamatan, tetapi tidak diluahkan kepada editor yang mengeluarkan arahan terbabit.\rWartawan era terbabit sesekali tidak akan mengatakan tidak kepada pegawai atasan apabila diberi tugasan, hatta walau dalam hati kecil  mereka ‘memberontak’ dengan arahan yang diberikan, sebaliknya masing-masing akan berusaha menyiapkan tugasan sebaik mungkin pada kadar segera.\rRasa kurang selesa terbit sebaik sampai di Colombo apabila melihat senarai nama hanya penulis dan wartawan sebuah majalah kembara di India, Dr Ameeta Wattal, petugas wanita dalam rombongan terbabit, manakala selebihnya akhbar seluruh dunia menghantar wartawan lelaki.\rTiada jaket kalis peluru dibekalkan, tetapi rombongan kami beruntung kerana segala destinasi yang dituju diiringi beberapa pegawai polis, ekoran situasi  Colombo yang masih diburu dengan peristiwa ngeri, gerabak kereta api diserang hendap LTTE sehingga menyebabkan beberapa kematian.\rKami dibawa menjelajah Colombo dan bandar pelancongan utama Sri Lanka, Kandy yang terkenal dengan pemandangan indah lagi sejuk udaranya kerana terletak di tanah tinggi seperti Cameron Highland di Malaysia.\rTidak ketinggalan, kami juga dibawa melawat ke tapak warisan dunia, Sigiriya yang terletak dalam wilayah Matale, bahagian tengah Sri Lanka dan bandar purba Anuradhapura di utara tengah Sri Lanka, tetapi perjalanan tidak diteruskan ke Trincomalee yang menjadi kubu kuat LTTE.\rMeskipun tiada sebarang perkara buruk yang berlaku sepanjang program lapan hari itu, tetapi pengalaman berkunjung ke kuil pada waktu Maghrib dan diarahkan membuka tudung ketika melawat kuil purba di Anuradhapura, tidak mungkin akan penulis lupakan sehingga ke akhir hayat.\r“Kau tahu petugas yang menjaga kuil purba itu tahan aku dan mengarahkan agar tudung dibuka apabila melihat peniti tersemat di kepala. Meskipun terpinga-pinga ketika itu kerana tidak tahu punca diperlakukan sedemikian, permintaan itu tidak aku penuhi.\r“Aku berterus-terang lebih rela menunggu di luar daripada menanggalkan tudung. Melihat kesungguhan aku mempertahankan pendirian cara berbusana mengikut Islam, polis pengiring akhirnya campur tangan dan penjaga kuil terpaksa akur membenarkan aku meneruskan perjalanan.”\rLebih menjengkelkan sekembalinya penulis ke pejabat selepas lawatan terbabit, disambut teman penyunting, Rahman Hashim, kini bergelar Dr dan mengajar di salah sebuah universiti awam di negara ini dengan kata-kata, “Salbiah kami sudah siap siaga dengan berita kematian kau, sekiranya ditakdirkan pulang sebagai Allahyarhamah.”\rKata-kata teman itu mungkin suatu seloroh, tetapi jauh di sudut hati penulis berkata sendiri, “Begitu murah harga diri dan nyawa seorang wartawan sehingga berita kematiannya sudah disiapkan lebih awal sebelum kejadian.”\rSedang leka berborak dengan teman serumah, seorang lagi teman mengirimkan pesanan ringkas, “Salbiah lihat program N.... Seorang pengacara kata tebas buluh dan seorang lagi yang membetulkan pilihan perkataan itu, kata tebang. Sakit telinga aku mendengarnya. Bahasa sendiri tak tahu.”\rPenulis faham mengapa teman seorang ini marah kerana tebas digunakan khusus untuk membersihkan semak-samun dan pokok kecil, manakala potong pula bermaksud kerat, penggal, hiris serta penjodoh bilangan untuk baju, kain, seluar atau bungkusan.\rDalam keghairahan memperkatakan ketupat dan lemang sempena Syawal yang diraikan umat Islam seantero dunia, pengacara lupa pilihan perkataan paling tepat untuk buluh ialah tebang dan lebih memalukan apabila pengacara yang sudah lebih suku abad melakukan kesilapan itu!\r

[Posting Asal]                [Kembali ke Berita Rakyat]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2025 04:18 PM GMT+8 , Processed in 0.100739 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list