|
MENJADI mukmin pasti melalui pelbagai ujian daripada Allah SWT bagi menguji adakah dirinya mukmin sebenar atau munafik. Allah tegas menggolongkan kaum munafik yang suka berdusta orang tidak beriman walaupun mengakui dirinya beriman.Firman Allah bermaksud: “Di antara manusia ada mengatakan, kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 8).\n\n\n\n Kita menyedari iman tidak boleh diwarisi daripada orang tua atau nenek moyang. Iman dan Islam bukan secara automatik diwariskan daripada orang tua kepada keturunannya. Mengakui orang beriman harus melalui ujian dan perjuangan dalam memelihara iman dan tauhid serta kesungguhan doa kepada Allah agar menunjukkan kita hidayah dan keselamatan dunia dan akhirat.\n\n\n\n\n\nUstaz yang salih tidak serta merta mempunyai keturunan yang juga alim. Jangankan ustaz, bahkan nabi pun tidak selalu anaknya menjadi orang beriman. Hal ini berlaku dalam kisah Nabi Allah Nuh AS. Firman Allah bermaksud: “Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku, termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itu benar. Dan Engkau adalah hakim seadil-adilnya.” Allah berfirman bermaksud: “Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukan termasuk keluargamu (yang dijanjikan selamat), sesungguhnya perbuatannya tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikatnya). Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu agar kamu jangan termasuk orang yang tidak berpengetahuan.” (Surah Hud, ayat 45-46).Allah menegur Nabi Nuh agar jangan menganggap anaknya yang condong memilih kafir daripada iman sebagai keluarganya. Bahkan Allah melarang Nabi Nuh mengajukan doa mencerminkan seolah-olah dirinya sebagai nabi tidak berpengetahuan dalam persoalan akidah sebagai pengikut setia antara umat manusia, bahkan antara anak dan ayah.Demikian pula dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda dengan tegas memperingatkan kepada keturunannya agar jangan menganggap garis keturunan sebagai automatik mendatangkan keistimewaan dibandingkan dengan orang lain. Tidak semestinya seseorang yang menjadi sebahagian daripada ahlil bait Rasulullah menjadi yakin dan pasti dirinya akan masuk syurga dan memperoleh syafaat Nabi Muhammad SAW. \n\n\nSabda Rasulullah bermaksud: “Ahlil baitku berpandangan mereka adalah orang paling berhak mendapat syafaatku, pada hal tidaklah demikian. Sesungguhnya para waliku di antara kamu sekalian ialah yang bertakwa, siapapun kamu dan di manapun adanya.” (Diriwayatkan Ibnu Abi Ashim, dalam As-Sunnah)Umat Islam harus faham zaman ini adalah era penuh fitnah di mana ancaman utama ialah munculnya gejala ‘murtad tanpa sedar’ sehingga Nabi SAW menggambarkan seperti malam yang gelap gelita.Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Segeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam gelap gelita. Pada pagi seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada petang hari. Pada petang hari seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia.” (Hadis riwayat Muslim).Hadis ini menggambarkan dengan tepat keadaan dunia sekarang. Fitnah sudah merebak sama ada ideologi, politik, sosial, ekonomi, budaya, hukum, pendidikan dan sebagainya. Jelas dan tegas Nabi Muhammad SAW mengatakan yang bermaksud: “Pagi beriman, petangnya kafir.”Semoga kita ditunjukkan Allah jalan lurus (siratal mustaqim), iaitu jalan orang yang diberikan nikmat, bukan jalan orang dimurkai, dan bukan jalan orang yang sesat.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|