CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2944|Reply: 2

Misteri Wang Palsu oleh Noor Azman Mahat

[Copy link]
Post time 14-1-2012 11:46 AM | Show all posts |Read mode
Bab 1A

Angin bertiup kencang. Cahaya matahari memancarkan cahayanya.  Jalan raya di kawasan taman perumahan Pandan Perdana itu kelihatan sibuk dengan kenderaan yang menggunakannya.  Kawasan itu memang terkenal dengan kesibukkannya. Kadangkala kedengaran bunyi hon kereta. Sikap pemandu di bandaraya besar seperti kuala lumpur ini memang begitu. Mereka mementingkan diri sendiri. Lumrah hidup di kota besar.

Kelihatan tiga remaja sedang berbasikal di lorong kecil bersebelahan jalan raya itu. Dua lelaki dan seorang perempuan. Ada yang berbaju belang, ada yang berspek hitam dan ada yang berbadan gempal. Mereka mengayuh dengan penuh bergaya menyusuri lorong itu. Basikal mereka penuh dengan gambar cogan kata dan slogan yang menarik. Ada “Tak Nak”, “Kempen Membaca”, “Malaysia Boleh”, dan gambar David Beckham.

"Kita nak pergi mana ni? Tanya Sang Lahap kepada dua kawannya itu. Mat Smart  memandang badan kawannya yang gempal itu. Dia tersenyum.  Memang badan kawannya itu semakin hari semakin gempal. Kadangkala dia sendiri berasa hairan kerana ibu bapa sahabatnya itu tidak pula berbadan gempal. Dia mengaru-garu kepalanya seketika.

"Kita pergi pejabat pos kejap," kata Mat Smart setelah sedar daripada lamunannya. Emaknya meminta dia menghantar surat untuk kakaknya yang sedang belajar di Perth, Australia. Sang Lahap dan Minak Spek mengangguk. Mereka bertiga segera mengayuh menuju ke destinasi pejabat pos yang tidak jauh dari rumah mereka itu.

Biasanya emak Mat Smart akan meminta anaknya itu menghantar surat yang berisi kata-kata nasihat terutama agar kakaknya tidak terlibat dengan unsur-unsur negatif ketika belajar di luar negara. Emaknya begitu bimbang. Mungkin emaknya terlalu banyak menonton rancangan televisyen barat.

Cuaca panas menyebabkan perjalanan mereka tengah hari itu agak memenatkan. Peluh mula membasahi tubuh mereka. Kadangkala mereka mengelap peluh di dahi yang mula meleleh. Sang Lahaplah yang paling banyak berpeluh. Dia tercungap-cungap mengayuh di belakang.  Beratnya semakin bertambah saban tahun. Ketika kecil, menurut ibunya, badan anaknya itu tidak seberapa. Badannya hanya mula meningkat selepas dia bersunat ketika darjah lima.

Mat Smart dan Minak Spek sekali-sekala memandang ke arah belakang. Mereka ingin memastikan sahabat mereka itu tidak ketinggalan. Sahabat mesti membantu sahabat. Itulah prinsip hidup mereka bertiga  yang sudah kenal satu sama lain sejak tadika lagi. Malah, keluarga mereka sering menggelarkan mereka tiga perdana sempena nama tempat keluarga mereka tinggal.

"Kau ok? Tanya Minak Spek. Di sebelahnya Mat Smart sedang membetulkan kedudukan basikalnya di kaki lima bangunan pejabat pos maluri itu. Pelajar perempuan itu memang mudah dikenali kerana matanya yang besar dan berkaca mata yang besar. Sekali nampak seperti orang yang suka belajar. Memang Minak Spek suka belajar. Semua keluarganya memakai cermin mata. Di kawasan mereka tinggal, keluarga itu dikenali sebagai keluarga Spek.

"Oklah," balas Sang Lahap apabila sampai di bangunan kedai dua tingkat itu. Dia juga meletakkan basikalnya di tepi basikal dua sahabatnya. Dia tidak mahu basikal mereka menghalang lalu lintas di situ. Dia perlu memikirkan kepentingan orang lain juga. Dia memandang ke arah bangunan bersetentang pejabat pos itu. Dia bergerak perlahan-lahan sedikit. Matanya masih memandang ke arah bangunan itu. Dia terus merenungnya.

"Depan balai polislah. Lepas ini kita pergi sana." tangan Sang Lahap menuding ke arah bangunan berwarna biru itu. Kedua-dua kawannya turut mengangguk sambil memandang ke arah bangunan itu. Dia memang suka polis. Dia sering menonton program televisyen bercorak penyiasatan. Rancangan X-Files menjadi kegemarannya.

Memang bangunan yang ditunjukkan oleh Sang Lahap itu menarik. Warnanya sahaja sudah cukup memudahkan orang ramai mengetahui kepentingan bangunan itu. Di depan bangunan itu kelihatan beberapa kereta peronda. Kadangkala kelihatan dua tiga anggota polis berjalan keluar masuk bangunan itu. Kelihatan juga orang ramai yang lalu lalang di tepi pintu pagar utama balai tersebut.

“Kenapa kau nak pergi ke sana,” tanya Mat Smart. Ketiga-tiga sahabat itu sedang berdiri sebaris dan memandang ke arah balai polis itu. Memang bergaya. Minak Spek membetulkan speknya. Sang Lahap membetulkan seluarnya. Minak Spek hanya tersenyum setiap kali kawannya itu membetulkan seluarnya.

“Kenapa tak boleh? Balas Sang Lahap. Dia memandang muka sahabatnya itu. Mukanya agak serius. Seperti hendak bergaduh lagaknya.

“Yalah, kenapa kau nak sangat pergi ke balai polis? Nak suruh Pak cik Hasan tangkap kau? Gelak suara Minak Spek kuat kedengaran. Mat Smart turut tersenyum apabila nama ayahnya terkeluar daripada mulut remaja perempuan itu. Sang Lahap pantas memegang bahu Minak Spek.

“Apa kau cakap. Nak suruh polis tangkap aku? Nak suruh aku masuk penjara? Ulangnya berulang kali. Mat Smart segera mengetuk kepala Sang Lahap supaya dia segera melepaskan pegangannya terhadap Minak Spek. Dia memang tidak suka kawan-kawannya bergaduh. Kalau setakat bertengkar, dia tidak kisah. Dia mempunyai anggapan bahawa kawan sejati ialah kawan yang akan membantu sahabatnya tanpa mengira keadaannya.

“Sudah. Kita datang ini sebab mak aku suruh aku poskan surat ini. Lepas pos surat, kita pergi balai polis itu sebab kita memang ada banyak masa. Ok! Cadang Mat Smart sambil menepuk kepala Sang Lahap dan memandang ke arah Minak Spek. Pandangannya itu seolah-olah memberi tanda kepada Minak Spek supaya tidak membantah. Cadangannya itu dianggap muktamad.

Mat Smart dan Minak Spek sudah mula berjalan menuju  pejabat pos. Sang Lahap masih merenung bangunan itu. Entah apa yang bermain di fikirannya tidak pasti. Tidak mungkin Sang Lahap memikirkan burger atau makanan ketika ini. Dia terus tercegat di situ. Dia sedang memikirkan sesuatu agaknya.

Tiba-tiba bahunya dilanggar orang. Dia menjerit kesakitan. Dia memegang bahagian yang sakit itu. Kemudian dia memandang ke arah orang yang melanggarnya tadi. Cuma bahagian belakang sahaja yang nampak. Lelaki. Tetapi lelaki itu tidak pun meminta maaf. Sang Lahap terus memandang lelaki itu dengan harapan dia akan menoleh ke belakang tetapi hampa. Matanya memandang ke arah kasut lelaki itu. Menarik. Kasut lelaki itu kelihatan ganjil sekali.

Bunyinya sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian semua mata memandang ke arahnya. Warnanya hitam. Depannya agak tajam dan ternaik sedikit. Bahagian belakang kasut itu mempunyai satu roda besi tajam seperti koboi zaman lampau. Nampaknya pemerhatian Sang Lahap memang teliti.

Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke pejabat pos. Tangannya masih mengosok-gosok bahagian bahunya yang terasa sakit. Kasihan Sang Lahap. Dia masih terasa kesakitan akibat di langgar. Memang lelaki itu tidak bersopan. Memang dia mencari nahas, bisik hati Sang Lahap.

“Sudahlah Sang Lahap.” Mat Smart memahami perasaan kawannya itu. Kawannya itu memang baik Cuma kadang kala suka mengikut perasaan. Kawannya itu nampak sahaja berbadan besar tetapi hatinya baik. Dia sudah cukup kenal perangai kawannya itu.

“Kau boleh kata sudah sebab bukan kau yang kena hentam tadi. Tapi aku yang kena tahu tak,” terangnya seperti tidak puas hati. Padanya seseorang itu tidak boleh melanggar orang lain tanpa meminta maaf.

Dia masih ingat nasihat Cikgu Azlee agar berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira kaum, keturunan dan agama. Dia mahu menjadi manusia yang baik. Dia mahu menjadi anak yang soleh. Dia mahu dikenali oleh masyarakat sebagai individu yang suka berbuat kebaikan dan kebajikan. Bukankah manusia sepatutnya berbuat kebajikan?

“Dia memang begitu. Bukannya kau tak tahu Mat Smart. Kalau orang lain salah, bukan main lagi komennya. Tapi kalau dia yang buat salah. Diam sahaja,” balas Minak Spek. Matanya seperti hendak terkeluar memandang ke arah kawannya itu. Sang Lahap segera membalas pandangan itu. Kedua-duanya tidak mahu mengalah. Kedua-duanya seperti anjing dengan kucing. Mereka selalu bergaduh.

“Oh, perli aku ya. Kalau berani marilah lawan tangan. Kita tengok siapa yang kuat,” cabar Sang Lahap. Dia menunjukkan lenganya yang besar itu. Gayanya seperti seorang peninju yang sedang menunggu lawannya masuk ke gelanggang.

“Ah, kalau setakat lawan lengan itu tak payahlah. Memang sah aku akan menang,” balas Minak Spek. Dia tahu Sang Lahap memang kuat tetapi sengaja berkata begitu kerana ingin menyakitkan hati sahabatnya itu.

Sang Lahap memandang sahaja. Hatinya membara untuk menutup kata-kata Minak Spek itu. Dia yakin dia akan menang dengan mudah. Dia hanya menunggu saatnya sahaja. Dia memang juara gusti lengan di sekolahnya. Tiada sesiapa yang mampu menewaskannya sejak dua tahun yang lalu.

“Sudah kalau nak bergaduh. Mari kita pergi kat luar. Sekarang aku nak poskan surat ini dan kemudian kita boleh pergi dari sini. Ok? Jelas Mat Smart yang sering menjadi pendamai antara kedua-dua sahabatnya itu. Malah dia dianggap sebagai ketua tidak rasmi dalam kumpulan mereka itu. Mungkin kematangan dan cara dia melihat sesuatu perkara yang menyebabkan dia dihormati oleh kedua-dua sahabatnya itu.

88karangan.com
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 14-1-2012 11:46 AM | Show all posts
Dia segera beratur menunggu giliran membeli setem. Matanya masih memandang ke arah kawan-kawannya itu. Memang banyak pelanggan di pejabat pos ketika itu. Agaknya semua orang mempunyai orang tersayang mereka di suatu tempat tertentu. Namun, ada juga yang datang hari itu untuk menyelesaikan bayaran bil mereka seperti elektrik dan air kerana memang di situlah mereka boleh membayarnya.

Sang Lahap dan Minak Spek masih berdiri di tepi pintu masuk pejabat pos itu. Mereka turut memandang ke arah Mat Smart yang sedang berbaris itu. Mereka juga memandang ke arah dinding yang penuh termuat dengan pelbagai maklumat seperti keluaran setem khas dan cara penghantaran wang serta kos penghantaran surat ke luar negeri. Semuanya diperhatikan oleh kedua-dua remaja itu.

Sementara itu, di luar pejabat pos itu panas mentari masih memancarkan cahayanya.  Memang begitu keadaan cuaca di Kuala Lumpur. Kalau panas, panas terik dan kalau hujan, sering hujan beberapa hari. Orang Kuala Lumpur sering dianggap kuat kerana mampu mengharungi pelbagai cabaran termasuklah perubahan cuaca.

bersambung......
Reply

Use magic Report

Post time 17-1-2012 04:54 PM | Show all posts
panjang tol cerite nie
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-11-2024 08:16 AM GMT+8 , Processed in 0.058216 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list