|
Shahrizat tidak tunduk desakan berundur daripada Kabinet, parti\rPUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan beliau tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan daripada pelbagai pihak yang mendesaknya meletakkan jawatan di dalam Kabinet mahupun parti berikutan kontroversi melanda Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dikaitkan dengan keluarganya.\r\n\n\n\n\r Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, soal jawatannya dalam Kabinet atau pencalonan pada pilihan raya akan datang adalah terletak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.\r\r\n\n\n\n\n“Saya tidak akan tunduk kepada tekanan. Saya ingin tegaskan, kedudukan saya dalam Kabinet saya bagi (serah) kepada Perdana Menteri untuk tentukan, terpulang kepada beliau untuk menentukannya.\r“Pelbagai cabaran yang dilalui oleh saya ketika ini tidak melemahkan saya, sebaliknya hanya menguatkan lagi semangat saya. \r“Sebagai ketua kalau takut hadapi cabaran, tak layak untuk jadi ketua,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari luar negara kerana bercuti dan mengerjakan umrah.\rShahrizat diminta mengulas desakan pelbagai pihak sama ada pembangkang atau dalam UMNO sendiri yang mahu beliau meletakkan jawatan berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap PFN yang dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang mana suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, adalah Pengerusi Eksekutif.\r\n\n\n\rBeliau mengambil cuti berikutan siasatan SPRM terhadap kes berkenaan.\rAkhbar juga melaporkan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, turut meminta Shahrizat untuk meletakkan jawatan dan tidak menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.\rSementara itu, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamelia Ibrahim berkata, Shahrizat perlu mengambil tindakan sewajarnya berhubung desakan berkenaan kerana ia membabitkan isu serius yang menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).\rShahrizat juga, katanya, perlu meletakkan kepentingan parti mengatasi diri sendiri dan bertanggungjawab membuat keputusan berhubung perkara itu dengan segera.\rSambil menafikan beliau mendesak atau memaksa Shahrizat meletak jawatan, Kamelia berkata, sebagai pemimpin yang hebat, Shahrizat harus memikirkan kepentingan parti serta negara bukan kepentingan diri dan keluarga.\r“Dia (Shahrizat) kena buat keputusan, tidak ada orang yang boleh buat keputusan bagi dirinya, jangan fikir untuk diri sendiri, apa yang penting fikir untuk parti dan negara,” katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|