PERLIS - “Tak sangka mangsa yang tersepit itu adik saya,” luah Muhamad Azfizan Abdul Aziz, 23, abang kepada seorang remaja yang maut dalam kejadian kemalangan di kilometer 13.4 Jalan Kampung Darat-Guar Jentik kira-kira jam 1.50 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, dalam kejadian ini, kereta yang dipandu mangsa, Mohd Azrizal Abd Aziz, 19, dipercayai bertembung dengan sebuah pikap yang bernombor pendaftaran Thailand dipandu Mohd Hazli Abdul Rahim, 19, bersama penumpang Rafidah Rashid, 21, dari arah bertentangan.
Menurutnya, akibat pertembungan itu, kereta mangsa terbabas dan melanggar pokok. “Mangsa yang ditemui dalam keadaan tersepit, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang pikap terbabit cedera parah di bahagian kepala.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan lebih kurang jam 3 pagi dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kangar. Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Azfizan berkata, ketika kejadian, dia yang melalui kawasan itu tidak menyangka bahawa kemalangan itu melibatkan adiknya.
Katanya, pada mulanya dia tidak berani untuk turun dari kenderaannya kerana terkejut apabila menyedari kereta jenis Honda City yang terlibat itu milik bapanya.
“Saya ingat ayah yang mengalami kemalangan, oleh kerana hati saya berdebar- debar ketika itu, saya hanya memerhatikan dari jauh.
“Tak sangka mangsa yang tersepit itu adik saya. Adik bawa kenderaan ayah jam 5 petang untuk pergi makan malam di Alor Setar, Kedah. Saya reda walaupun adik yang pergi dulu,” katanya. |