View: 5109|Reply: 20
|
[C] Sesuatu untuk Aku (U)
[Copy link]
|
|
Penulis : Novem
Hari ini...
“Ooohhh tidak!”
Pertama kali dalam sejarah hidup aku, aku jatuh cinta pandang pertama! Oh tidak… tak mungkin. Tapi hati mana pandai berbohong kan? Aku merebahkan badanku ke ata ssofa. Sofa buruk yang semakin kusam aku lanyak semahunya. Sambil menilai-nilai dengan pandangan dan perbualan yang berlangsung kurang dari sejam tadi.Pertemuan yang singkat tapi sudah cukup untuk buat aku jadi gila pada makhluk itu. Aku memandang siling. Penuh dengan sawang. Maklumlah, rumah bujang. Student pulak tu. Siapa la yang rajin nak mengemas. Aku mengimbau kembali pertemuan sebentar tadi. Pertemuan singkat itu buat aku hilang arah seketika. Masakan tidak, baru terpandang beberapa saat terus jatuh hati! Sedangkan aku ni bukan jenis yang cepat jatuh cinta. Dah masuk tahun ke empat di UiTM Shah Alam ni,seorang awek pun aku tak berkenan. Perempuan yang jatuh hati pada aku adalah.Setiap semester mesti ada sekurang-kurangnya seorang yang hantar salam perkenalan. Tu belum dikira makcik cleaner dan pensyarah yang tengah cari calon suami. Tapi aku biasalah. Buat tak tahuje. Mungkin sebab mereka tengok aku macam imam muda kot? Imam muda la sangat.
Waktu itu aku baru keluar dari masjid negeri lepas solat Asar. Memang rutin aku hari jumaat aku akan ke masjidShah Alam untuk solat Asar. Sebab lepas tu boleh aku berjoging di sekitar tasik Shah Alam. Tapi entah kenapa tadi aku tergerak nak tengok gerai-gerai kecil dibahagian belakang kawasan masjid. Niatnya cuma nak tengok-tengoklah barang-barang yang dijual. Mana tahu ada yang berkenan. Tapi entah macam mana juga, mata aku yang cukup sifat ni terpandang pada susuk tubuh seorang gadis.Ye… gadis. Dia sedang membelek-belek tudung yang dipamerkan di situ. Dan gadis itu dengan serta merta memandang aku dan melemparkan senyuman paling manis yangpernah aku lihat.
Dan saat itu jugak, hati aku cair bagai coklat panas. Hilang terus ego dan rasa jantan yang dibawa sepanjang hidup. Terus terkulat-kulat aku dibuatnya mamandang lantai. Muka dah pasti merah. Terus jadi malu macam anak dara! Tapi aku gagahkan juga untuk membalas senyumannya. Niatkan bersedekah. Dapat juga pahala. Orangnya agak tinggi. Tapi aku lagi tinggi. Kulitnya putih kemerahan. Aku gelap sedikit. Hidungnya taklah mancung sangat. Hidung aku lagi tinggi. Matanya besar dan hitam. Sama macam aku. Cuma mata aku taklah besar sangat.
Tapi tak sampai seminit, dia terus berlalu meninggalkan kawasan itu. Aku hanya memerhatikan langkahnya pergi. Mata aku tak lepas dari memandang susuk tubuh berbaju kurung ungu itu sehinggalah aku dikejutkan oleh penjual minyak wangi disebelah aku.
“nak beli ke bang?”
“eh, tak. Saja nak tengok-tengok.” Kata aku sambil tersenyum. Malu juga rasanya bila ditanya begitu. Tapi mungkin adik itu faham. Kehidupan seorang pelajar bukan boleh boros sangat. Benda yang boleh dicatu, catu dulu.
Gadis itu menghilang. Aku mengeluh kecil. Lalu aku tinggalkan perkarangan masjid Shah Alam menuju ke tempat pakir motor. Dalam berjalan, ingatan aku pada gadis itu masih kuat.
*****************
Last edited by akudansesuatu on 27-8-2013 12:07 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
“assalamualaikum.” Aku terkejut. Serta merta aku menoleh untuk melihat gerangan siapa yang memberi salam padaaku.
“waalaikummussalam.” Sepontan aku menjawab. Gadis itu dihadapan aku. Sekali lagi dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibir comelnya.
“boleh tolong kita tak? Motor ni tak boleh hidup.” Gadis itu bersuara. Aduh… sedapnya suara dia. Untuk beberapa saat pertama aku masih kaku seperti tugu negara. Leka memerhatikan makhluk tuhan yang cukup sempurna dihadapan mataku ini.
“kenapa tengok macam tu?” lamunan aku tersentak. Gadis itu mencebikkan bibirnya.
“eh, tak ada apa. Terkejut sebab tiba tiba ada orang kat belakang.” Aku tersenyum sambil berdalih. Rasa macam peluh mula mercik di dahi ni. “kenapa dengan motor ni?” aku mengalih pandangan mataku. Ikutkan hati nak pandang dia je.
“tak tahu. Tak boleh hidup. Minyak ada.” Katanya ringkas.
Aku memegang pulas minyak motor dihadapanku. Jenis Yamaha LC 135. Motor paling popular abad ini. Aku cuba untuk menghidupkan enjinnya beberapa kali. Aku bukannya tahu sangat pasal motor ni tapi bolehlah tengok-tengokkan. Taknaklah jatuhkan air muka depan awek ni.
“nampak macam takde api.” Aku membuat kesimpulan sambil duduk mencangkung meraba-raba bahagian palam puncucuh motor itu.
“teruk ke?” gadis itu bertanya. Aku berpaling melihatnya. Nampak sedikit kerisauan pada riak wajahnya.
“taklah. Mungkin cuci plug je kot.” Aku rasa saat itu akulah lelaki paling macho di Shah Alam ini. Dengan nada suara yang di kawal sehabis mungkin. Dalam hati aku tersengih sendiri. Aku meneruskan kerja aku. Membuka palam pencucuh dengan alat yang aku ambil darimotor C70 aku.
“awak dari mana?” aku cuba memulakan bicara. Nak tahu jugak perihal manusia depan aku ni.
“dari UiTM. Kita nak ke PKNS.Singgah sekejap kat sini nak solat dulu.” Katanya bersahaja. Merdu suaranya.
“awak dari UiTM juga kan?” aku berpaling. Macam mana dia tahu. Aku mengerutkan dahi.
“tu… nampak stiker UiTM katmotor awak tu.” Dia tersenyum kembali. Aku pun turut tersenyum. Aduh… tak boleh nak tengok lama-lama. Syaitan kat telinga ni dah suruh buat macam-macam. Aku beristiqfar. Takut-takut pandangan mata aku menimbulkan perasaan yang tak elok. Suasana hening seketika.
“nama kita Amirah. Nama awak?” sekali lagi gadis itu memecahkan suasana.
“Amar.” Aku menjawab sepatah. Sebenarnya aku tak sangka yang gadis itu peramah orangnya. Aku jadi malu sendiri. Rasa macam ego boleh buang jauh-jauh.
Aku bangkit untuk menghidupkan kembali motor itu. Kunci dihidupkan, choke ditarik. Dengan sekali tendang, motor itu hidup. Aduh… kenapa senang sangat hidup ni. Tak dapat la nak bersembang panjang lagi. Aku merungut dalam hati.
“terima kasih Amar.” gadis itu menyebut namaku. Senyuman manisnya tak pernah padam.
“sama-sama. Taklah susah sangat.” Nak mintak nombor telefon boleh? Tapi cakap dalam hati aje lah.
“nak balik UiTM dah ke?” giliran aku memulakan bicara.
“tak. Tengah tunggu kawan. Dia tak keluar-keluar lagi. Dah janji dengan dia kat sini.”
“em… Amirah belajar course apa?” ada getar dalam suaraku. Mungkin ini boleh jadi salam perkenalan?
“Amirah ambil kursus memasak.” Serta merta aku mengerutkan dahi. Merenung gadis manis dihadapan ku ini.
“la…iye. Tak percaya ke?” Aku memandang mata galak itu dengan rasa tak percaya. Ada ke course memasak kat UiTM tu? Aku lihat dia menahan ketawa. Sah aku kena main. Siapa suruh lurus sangat.
“taklah Amar. Amirah ambil course perubatan.” Katanya sambil ketawa. Mungkin lucu kerana mengenakan aku. Bahasa diri yang digunakannya buat aku rasa cepat mesra dengan dia. Tiba tiba telefonku berbunyi. Aku segera menjawabnya. Sahabat baik ku Mizi menelefon bertanya dimana aku ketika ini. Sedang aku kalut bercakap dengan Mizi, gadis itu mematikan injin motorsikalnya. Dia memberi isyarat tangan kepada aku untuk masuk ke dalam masjid sambil kakinya melangkah. Aku sedikit gelisah kerana perbualan tadi amat singkat. Selang beberapa langkah, aku menutup tapak tanganku di telefon.
“Amirah, boleh kita jumpa lagi?” kata aku separa menjerit. Entah dari mana datang keberanian untuk bertanya begitu. Langkahnya terhenti lalu berpaling menghadap aku. Ada jarak antara aku dan dia.
“jika diizinkan Allah.” Dia melemparkan senyumannya. Nampak jelas lesung pipit di pipi kiri dan kanannya. Lalu dia berlalu pergi. Yang tinggal hanya aku, C70, LC 135 dan mataku yang tak lepas dari pandangan indahnya.
****************************
|
|
|
|
|
|
|
|
Aku kembali dari lamunan petangku. Aku memandang jam di dinding. Sudah hampir Maghrib. Lama betul aku mengelamun teringatkan budak Amirah tu. Nazak nampaknya aku ni. Hati pun dah jadi macam tak beberapa tenteram. Perasaan jiwang karat dah mula menceroboh jiwa seni aku. Aduh… syahdu la pula petang ni. Aku bingkas bangun untuk ke bilik air. Mandi untuk bersihkan diri walaupun aku tahu yang mandi aku takkan basah selepas ni. Kenapalah fikiran ni asyik teringat kat awek yang tak sampai beberapa minit kenal tu. Tu la, dulu mengata orang jiwang karat sebab bercinta. Kali ni kena kat lubang hidung sendiri. Baru tahu penangan cinta pandang pertama. Pandang sekali terus melekat.
“jap…malam ni…” aku berkata sendiri. Rasa macam ada teringat sesuatu.
Aku membelek belek kalendar yang tergantung di hadapan sofa. 17 haribulan! Malam ni ada kuliah agama kat Masjid Shah Alam! Boleh pergi ni. Mana tahu ada jodoh ‘terjumpa’ cik Amirah kita malam ni. Aku bergegas ke bilik air. Tak mahu terlepas peluang yang ada. Niat nak ke kuliah agama entah ke mana.
*****************************
Aku meletakkan motorsikal di tempat tadi. Motor Amirah masih ada disitu. Hati dah nak tercabut sebab gembira sangat. Tapi kunci motornya ada di motor. Terlupa agaknya nak ambil kunci kot. Aku melangkah ke dalam masjid. Aku tak sempat untuk berjemaah. Masa tengah mandi tadi pun dah azan Maghrib. Sudahnya, aku solat Maghrib di rumah. Lepas solat baru aku ke masjid. Kuliah dah mula dari corong pembesar suara.
Aku masuk ke dewan solat. Terpaksa duduk di saf paling belakang. Sebab saf depandah penuh. Saf belakang pun okey jugak. Dekat dengan saf muslimat. Tapi memang payah la nak cari dia dalam keadaan macam ni dah semuanya pakai telekung. Ah,takpelah. Pergi dengar kuliah dulu. Nanti balik nanti boleh tunggu dia kat motor. Aku menunaikan solat sunat tahyiatul masjid. Dalam solat aku cuba untuk membetulkan niat datang ke sini. Datang sebab nak dengar kuliah. Bukan nak cari jodoh.
Habis kuliah dan solat Isya’ aku bergegas keluar. Takut terlepas nak tersempak dengan Amirah. Lega sedikit hati sebab motorsikalnya masih ada di situ. Aku menarik nafas lega. Sambil duduk di kaki lima masjid, mata aku melilau mencari susuk tubuhnya. Ada sedikit takut sebab takut dianggap gila bayang. Gila bayang pun gila bayanglah.
Setengah jam menunggu kelibat Amirah masih tak kelihatan. Tapi aku masih tak putus asa.Aku hero dalam cerita ni. Mana boleh mengaku kalah macam tu je. Hero hindustan pun akan melawan sampai saat akhir. Aku bukan hero Korea. Ceh.. jauh betul melalut.
Aku mengeluh kebosanan. Bosan menunggu. Kalau telefon aku jenis smartphone bagus la juga. Boleh aku layan WiFi di sini. Tapi apakan daya,faktor kewangan menyebabkan aku terpaksa pakai telefon cap sabun. Janji boleh pakai. Daripada langsung tak ad…..
“assalamualaikum.” Suara misteri itu memotong bebelan hati aku.
“waalaikummussalam.” Aku berpaling. Amirah di belakang aku. Aku terkejut. Tapi dia tidak. Selamber saja sambil ketawa nakal.
“tunggu Amirah ke?” katanya sambil tersengih-sengih mengusik.
“eh,tak lah. Saya nak balik dah ni. Duduk ambil angin je tadi.” Kata aku menggelabah. Segara bangun supaya tak nampak terkantoi.
“eleh,Amirah dah perhati dari tadi. Amar duduk sini dah dekat setengah jam dah.” Dia ketawa kecil. Nampak giginya yang tersusun rapi.
“tak…betul. Saya tak tunggu pun.” Aku masih cuba berdalih. Muka mula rasa panas!
“okey…kalau macam tu, Amirah balik dulu ye? Bye.” Dia berlalu meninggalkan aku disitu. Aku pula jadi kalut. Aku segera mengekori belakangnya menuju ke tempat letak motorsikal.
“Amirah!Kejap!” aku betul-betul berada dibelakangnya.
“tadi Amar kata tak tunggu Amirah.” Dia masih meneruskan langkahnya.
“ops! Kejap-kejap!” aku bertentang dengan Amirah. Langkah kami terhenti. Senyuman dibibir Amirah sudah mati. Dia buat muncung itik!
“okey,okey. Saya bukan tak tunggu Amirah. Tapi saya macam tunggu. Tapi sebenarnya nampak macam tunggu tapi bila dah lama tunggu, dah jadi macam tak tunggu.” Apa yang kau mencarut ni setan. Kenapa menggelabah sangat ni.
“apa yang Amar cakap ni. Macam tak betul je. Tak pe, Amirah faham kalau Amirah mengganggu Amar tadi.” Dia meneruskan langkah meninggalkan aku sekali lagi.
Aku segera berpaling. Terus ke kawasan motor kami.
“kejap,kejap! Okey, okey. Saya tunggu Amirah. Memang saya tunggu Amirah.” Aku memberanikan diri.
“tunggu kenapa?” kali ni senyuman di bibirnya sudah terukir.
“Er…em… sebab… nak bagitahu yang kunci motor Amirah ada kat motor. Ha! Sebab tusaya tunggu Amirah.” Aku berdalih. Yes! Dapat juga idea!
“ye..ke..” Amirah mengecilkan matanya. Aduh! Comelnya!
“ye…tak percaya, pergi tengok kat motor tu. Mesti ada kunci motor tertinggal kat situ kan?” aku mengalihkan pandangan pada motornya.
“A’ah. Hai… ni dah kali ke berapa Amirah tertinggal kunci kat motor.” Dia mengeluh sendiri.
Aku mengambil kesempatan itu untuk melihatnya puas-puas. Dalam kesamaran cahara lampu limpah yang terang, memang gadis dihadapan aku ini cukup cantik. Dengan bertudung litup dan manis, masakan aku tak terpikat.
“Amirah.Em, boleh kita berkawan?” tiba-tiba perkataan itu yang keluar dari mulut aku.
“em? Berkawan? Bukan Amirah kawan Amar sekarang?”
“yeke? A’ah. Ye tak ye juga kan?” aku jadi malu sendiri.
“atau Amar masih tak anggap Amirah kawan Amar?”
Amboi…pandai cakap pula minah ni. Aku cium karang baru tahu.
“er…nak nombor telefon boleh?”
Tba-tiba raut wajahnya berubah. Dia merenung tar jalan. Cuba menyembunyikan riak wajahnya dari aku.
“bukan Amirah tak nak bagi. Tapi kalau Amirah bagi nanti kita akan makin rapat. Amar akan kenal siapa Amirah. Nanti bila Amar kenal siapa Amirah, Amar akan menjauhkan diri.” Dia berkata sayu.
Aku kebingungan. Hai, kenapa dia cakap macam tu. Ada rahsia ke yang dia taknak aku tahu. Aku melihat wajahnya. Ada titik air jernih di pipinya. Aku kaget. Kenapa dia menangis pula ni. Aku tak ada buat apa-apa pun.
“Amirah,kenapa ni? Amirah ada masalah ke? Atau saya buat Amirah rasa tak selesa?” aku mula rasa bersalah. Rasa macam nak cabut dari situ.
“tak.Amar tak buat salah apa-apa. Cuma Amirah yang teremosi sikit.” Dia cuba tersenyum. Tapi senyumannya pahit. Matanya sedikit merah.
“kalau Amirah taknak bagi nombor telefon pun tak pe. Saya faham. Tapi tak nak macam ni ye. Saya jadi susah hati ni.” Aku mula tenang bila sendu Amirah dah reda. Memang terkejut aku dibuatnya. Tiba-tiba menangis. Nanti orang ingat laki bini bergaduh pula.
“okey, Amirah bagi. Tapi janji tau. Apa pun terjadi, jangan tinggalkan Amirah.”
Aku terpinga-pinga. Antara faham atau tak, aku hanya mengangguk. Hati ni dah makin lega apabila Amirah mula tersenyum. Senyuman yang ikhlas. Aku lupakan dulu ayat dia tadi. Yang penting, aku dapat nombor telefonnya. Maka, bermulalah episod baru aku untuk mengayat seorang gadis yang kena dengan citarasa aku. Malam itu kami hanya berbual sebentar. Adalah dalam 15 minit. Selebihnya aku simpan untuk hari akan datang. Lagipun waktu malam dan dalam perkarangan masjid, tak elok orang bujang dan anak dara bukan muhrim berbual mesra. Nanti tok imam panggil suruh nikah je. Jangan buat pasal. Ni bab nak tanggung anak orang ni. Belajar pun tak habis. Tapi untuk malam itu aku tidur lena. Lena dibuai mimpi bersama seorang gadis yang telah mencuri hati aku. Lantaklah aku jadi jiwang karat.Lagipun, ego bukan boleh bawa mati pun. Ceh!
|
|
|
|
|
|
|
|
Sesuatu untuk aku.. Best2 |
|
|
|
|
|
|
|
Sudah seminggu berlalu sejak pertemuan terakhir aku dengan Amirah. Persetan! Rasa macam nak menyumpah-nyumpah je dalam hati ni. Dah seminggu aku tak dengar khabar berita dari budak comel tu. Aku kena kencing ke hah? Tak… tak mungkin. Aku nampak keikhlasan pada mata dia malam tu. Takkan dia nak perdajal aku kot? Tapi itulah yang terjadi sekarang. Hari ni genap seminggu aku lost contact dengan dia.Kemana dia hilang? Dan hari ni juga genap 5 hari aku berulang alik dari UiTM ke Masjid Shah Alam untuk berjumpa dengan dia. Tapi langsung tak nampak lesung pipitnya.Tapi yang aku hairan, motornya ada di situ. Termasuk kunci motornya. Tapi kelibat orangnya, langsung tak nampak.
“kau nampak hantu kot?” sahabat baikku Mizi berseloroh.
“mustahil Mizi. Kalau hantu,takkan dia boleh bagi nombor telefonnya pada aku. Aku hantar beratus mesej pada dia. Tapi tak berbalas.”
“kau ada telefon dia?” Mizi bertanya lagi.
“tak… aku takut juga nak telefon. Buatnya bini orang. Mampus aku jadi tempoyak.”
Aku mula rasa tak sedap hati.Dah macam-macam benda negatif masuk dalam ubun-ubun aku. Amirah balik kemalangan la, kena culik la, jatuh sungai la. Suma dah mula menghinjak-hinjak dalam benak aku sekarang. Aku mula teringat kata-kata terakhir Amirah pada malam tu. ‘apa pun yang terjadi, jangan tinggalkan Amirah’. Dan kata-kata itu yang buat aku rasa makin tak keruhan. Janganlah jadi apa-apa pada dia. Tolongaku ya Allah!
Tiba-tiba bahuku ditepuk orang.Aku terkejut beruk. Nasib baik tak melatah. Aku berpaling dan Mizi di sebelahaku. Bila dia sampai aku pun tak tahu.
“apa yang kau fikirkan tu Amar.Jauh betul meroyannya.” Mizi menegur aku.
Aku baru tersedar yang dah sejam aku berada di kedai air batu campur ini. Dah sejam aku duduk melangut dihadapan kedai ABC Pegaga yang terletak di Seksyen 2 Shah Alam.
“aku risau la Mizi. Aku takut jadi apa-apa pada dia je.” Aku berterus terang pada Mizi. Mizi sahaja yang tahu cerita aku dan Amirah dari A sampai Z. Mizi terdiam. Dia memandang tepat mataaku. Serius.
“kau kenapa Mizi? Macam nak telan aku je? Kau tak makan tengahari lagi ke?” aku cuba buat lawak tapi Mizi masih serius.
“aku nak tanya kau sesuatu.Jawab dengan jujur. Betul kau jumpa budak nama Amirah tu?” soalan Mizi nampak tegas.
“betullah. Takkan aku nak buat cerita pula.” Aku jadi takut. Mizi nampak lain macam.
“budak tu ada lesung pipit?”
“a’ah. Bukan aku dah bagitahu kau kan?”
Mizi mengeluh berat.Pandangannya dialihkan pada sekumpulan pelanggan di meja sebelah. Aku nampak ada yang dia nak beritahu aku. Tapi nampak berat. Macam satu masalah. Dan masalah tu berkaitan dengan Amirah. Dan Amirah berkaitan dengan aku. Ish, bila pula aku kahwin dengan Amirah ni?
“okey, lepas ni kau ikut aku.”Aku sekadar mengangguk.
***************************
Aku terdiam tanpa berkata apa-apa. Kelu lidah aku untuk bercakap sesuatu. Kaki aku terasa longlai.Jantung aku bagai dirobek pisau daging. Amirah aku lihat masih seperti malam terakhir aku melihatnya. Cuma badannya kurus tak berisi. Dia terbaring kaku diatas katil wad 3B Hospital Putrajaya. Aku hanya melihatnya dari luar bilik yang dipisahkan dengan cermin kaca. Tiada seri pada wajahnya. Tiada senyuman.Matanya tertutup rapat. Kulitnya pucat. Cuma rambutnya yang panjang mencecah pinggang terikat rapi. Mungkin dirapikan oleh ibunya. Ada dua tiga wayar yang disambungkan pada tubuhnya. Sudah 15 minit aku begitu. Wajah yang aku rindu kini terbaring tak bermaya.
“dah sebulan dia macam tu. Lepas kau cerita pada aku tentang dia, aku selidik budak dari Fakulti Perubatan. Dan aku dapat tahu keadaan dia macam ini dari rakan kelas dia. Dia terjatuh masa cuba elak kereta. Dan kerana itu, kepalanya terhantuk pada bahu jalan.Tempurung kepalanya retak sedikit dan doktor kata dia koma. Termasuk hari ni dah sebulan lebih dia koma. Doktor pun tak tahu bila dia akan bangun.” Mizi bersuara di sebelah aku.
“sebulan? Dah tu, yang aku jumpatu siapa?” bulu roma aku naik. Seram.
“tak tahu. Mungkin Allah nak kau jumpa dia. Macam yang kau selalu cakap. Allah tak buat perkara yang kebetulan.”
Aku membisu.
“kejadian tu jadi di kawasan Masjid Shah Alam. Motor yang kau jumpa tu memang motor dia. Kunci motor tu pun masih di sana. Takde orang nak bawa balik. Sebab tu tinggal di sana. Hari tu dia berdua dengan teman lelakinya. Singgah di masjid untuk ke tandas. Keluar dari masjid, jadi la macam ni.”
Aku membisu.
“mak ayahnya ada kat dalam.Pergi la jumpa orang tua tu. Sekurang-kurangnya ringan sikit beban mereka.”
Aku membisu. Dalam hati ada sedikit kecewa. Ada sedikit gembira. Ada sedikit sedih. Semuanya bercampur-campur. Aku gembira kerana aku sudah ketemu kembali Amirah. Dah Amirah itu wujud. Bukan fantasi. Aku sedih kerana Amirah terbaring kaku tak bermaya. Tak ceria seperti sebelumnya. Senyumannya pun mati. Aku kecewa kerana dia tak seperti Amirah yang aku kenal. Amirah dihadapanku sebenarnya tidak berhijab. Malah masih ada kesan pewarna pada rambutnya.
Aku melangkahkan kaki masuk ke dalam wad.Bersalaman dengan kedua orang tuanya. Nampak penat pada riak wajah mereka.Ayahnya nampak tegas walaupun anaknya terbaring lemah. Ibunya terbalik. Nampak sedih. Naluri ibu mengharapkan Amirah bangun.
Aku tak lama di dalam wad. Aku segera keluar duduk di kerusi luar. Tak sanggup untuk berada lama menatap orang ‘lain’ dalam hidup aku. Aku merenung lantai. Menarik nafas dalam-dalam. YaAllah, apa hikmah di sebalik ujian ini? Apa yang Kau mahu aku lakukan sebenarnya? Bahuku di tepuk orang. Ayah Amirah disebelahku. Nampak ketegasannya sudah hilang. Keluhan berat dilepaskan menandakan berat ujian Allah pada dia.
“anak ni siapa?” dia berkata lembut.
“Kawan Amirah pakcik. Kawan baru.” Aku tak berterus terang.
“pakcik tak pernah nampak kamu datang. Itu yang pakcik tanya.” Aku hanya mengangguk.
“kesian Amirah. Mungkin sebab dia jauh dari Allah dia jadi macam tu.” Ayah Amirah mengeluh.
“sabar pakcik. Allah takkan buat perkara yang kebetulan.” Ayah Amirah memandang ku. Matanya sayu. Kemudian dia mengesat sedikit matanya yang berair.
“mari pakcik kita ke surau. Kita buat solat hajat.” Aku memegang tangan orang tua itu memimpinnya ke surau. Pada ketika ini, aku hanya boleh berharap pada Allah yang Esa.
**********************************
Aku duduk di sebelah katil Amirah. Gadis itu masih seperti tadi. Terbaring kaku. Aku membuka surah Yasin.Aku baca perlahan-lahan melewati telinganya. Tiada siapa dalam bilik itu. Aku mengambil masaku sendiri untuk menghabiskan bacaanku. Selesai solat hajat tadi aku teringat janji aku pada ‘Amirah’ yang aku takkan tinggalkannya walau pada yang terjadi. Aku kembali pada bacaanku. Khusyuk dan tertib. Doa ku pada Allah agar sembuhkan hambanya ini. Biarlah dia sedar dari komanya untuk dia hidup seperti sediakala. Biarlah dia bangun kerana Allah yang mahukannya. Biarlah dia bangun kerana kasih-Nya pada dia. Aku redha andai Amirah dihadapan ku ini tidak mengenaliku. Aku redha jika pertemuan antara aku dan Amirah itu hanya khayalan semata-mata. Tapi biarlah Amirah yang wujud dihadapan ku ini sedar dari lenanya. Agar dia sempat bertaubat dan berbakti pada kedua orang tuanya.
Aku menutup surah Yasin selepas menyudahkannya. Perlahan-lahan aku membisikkan ditelinganya.
“Amar datang menunaikan janji.Bangunlah Amirah. Bangunlah dengan menyebut nama Allah yang Esa. Jangan diulang kesilapan lalu. Ingat Allah banyak-banyak. Allah kasih pada Amirah.”
Aku mengesat air mata yang tumpah. Cuba sedaya upaya menahan sebak. Allah lebih tahu akan hatiku kala ini.
****************************
|
|
|
|
|
|
|
|
elephantcute posted on 27-8-2013 05:44 PM
wah cte baru..
hehehe try-try je..
|
|
|
|
|
|
|
|
laksamana_sunan posted on 27-8-2013 06:18 PM
Sesuatu untuk aku.. Best2
tq..tq...
|
|
|
|
|
|
|
|
Apa yang kau mencarut ni setan?
Salam TT...
Nice story
Ini citer uols ke ataupun orang lain tulis? Sebab pernah baca cerita yg lebih kurang tapi dalam bentuk kartun... |
|
|
|
|
|
|
|
nnt smbung lg taw..
|
|
|
|
|
|
|
|
Nicki_Meow posted on 28-8-2013 04:08 PM
Apa yang kau mencarut ni setan?
cerita sendiri...kalau pernah sama kira kebetulan je...
|
|
|
|
|
|
|
|
Sebulan sebelum itu...
Amirah mengesat air mata yang jatuh di pipinya. Sedunya semakin berkurangan. Faizal masih tidak kelihatan.Dia ke tandas yang terletak di sebelah belakang Masjid Shah Alam. Amirah hanya duduk berseorangan di kaki lima masjid. Sudah setengah jam dia begitu. Tadi pertengkaran antara dia dan Faizal sudah kemuncaknya. Sejak dari atas motor lagi Faizal sudah marah marah. Memaki hamun dirinya. Dek kerana tak tahan diperlakukan begitu, di minta agar dilencongkan ke dalam masjid dengan alasan hendak ke tandas. Sebenarnya dia sudah hilang sabar terhadap Faizal. Semua turutannya mesti di patuhi. Jika tidak, makan penamparlah pipinya.
Hari ini Faizal mengajak dia untuk ke rumah sewanya. Tapi dia berkeras tak mahu. Mana boleh dia setuju.Walaupun dia akui yang dia bukan baik sangat tapi untuk ke rumah orang lelaki bukan prinsipnya. Dia takkan menggadaikan maruahnya untuk makhluk bernama lelaki. Cukup sekadar dia sanggup naik motor bersama Faizal. Lebih dari itu,jangan harap! Sampai di sini tadi Faizal sudah membebel yang bukan bukan. Dia jadi hilang sabar. Hari ini aku nak mintak putus. Nak jadi apa, jadilah!
Tiba tiba anak matanya menangkap pada susuk tubuh seorang pemuda. Dari perwatakannya nampak warak. Dia semakin asyik memerhati. Lelaki itu sibuk bermain dengan seorang kanak-kanak lelaki.Nampak kemesraan antara mereka berdua. Anak dia kot? Amirah semakin berminat melihat lelaki itu. Tangisannya sudah reda. Pemuda itu masih leka mengusik anak kecil itu. Rambutnya masih basah kerana wudu’. Tiba-tiba muncul seorang wanita dan anak kecil itu berlari mendapatkannya. Wanita itu memeluk anak kecil itu.Perwatakannya sopan dan tertib. Bertudung labuh dan berjubah. Ada ciri-ciri wanita solehah. Amirah jadi malu sendiri. Dia melihat dirinya yang masih jauh dari ciri-ciri wanita tersebut. Rambutnya yang panjang separas pinggang masih tidak ditutup. Malah minggu ni tangannya terasa gatal untuk mewarnakannya.Walaupun sikit, tapi warna perang itu tetap kelihatan di hujung rambutnya.Pakaiannya jauh sekali. Seperti pakaian zaman jahiliah. Berseluar jeans ketat sudah menjadi kebiasaan. Baju usah di tanyalah.
Tiba-tiba wanita itu berlalu bersama anak kecil itu.Oh, bukan anak dia. Dia berkata sendiri. Pemuda itu berjalan masuk ke dewan solat aras bawah. Amirah nampak jelas wajah pemuda itu.Wajahnya mendamaikan hatinya. Mengusik jiwa wanitanya. Tiba-tiba air matanya tumpah. Segera ditahannya. Amirah mencapai telefon bimbitnya. Dia menaip sesuatu. ‘Faizal, aku nak putus dengan kau. Jangan cari aku lagi.’ Amirah menghantar mesej itu kepada Faizal. Dia tak peduli apa akan terjadi selepas itu. Dia segera mencapai kasutnya dan menuju ke motorsikalnya. Melihat pemuda tadi membuatnya sebak. Dia mahu berhijrah dari kehidupannya sekarang. Tanpa sedar, dia sebenarnya tertarik pada lelaki tadi. Hati gadisnya sudah dicuri orang!
Amirah berjalan laju ke arah tempat letak motorsikal. Tanpa menoleh kiri dan kanan dia terus berjalan.Sebuah kereta betul-betul berada disebelahnya. Tak sempat break. Amirah baru tersedar yang kereta itu sangat hampir dengannya. Dia cuba mengelak. Kakinya tersadung. Kepalanya terhantak pada bahu jalan. Darah pekat mengalir laju. Dia pengsan di situ.
***********************************
|
|
|
|
|
|
|
|
okey... lagi satu part lagi... |
|
|
|
|
|
|
|
akudansesuatu posted on 29-8-2013 08:51 AM
cerita sendiri...kalau pernah sama kira kebetulan je...
Ah...ok. Jangan marah naaa...tanya jek.
Pasal cerita yg itu pun secara kebetulannya sama konsep: Ngurat awek - kapel - tetiba awek hilang - cari bagai nak rak - rupanya eksiden
|
|
|
|
|
|
|
|
Nicki_Meow posted on 29-8-2013 09:12 AM
Ah...ok. Jangan marah naaa...tanya jek.
Pasal cerita yg itu pun secara kebetulannya sama konse ...
heheh tak marah la..
maybe lain cikit kot...tunggu part last ye...
|
|
|
|
|
|
|
|
akudansesuatu posted on 29-8-2013 09:14 AM
heheh tak marah la..
maybe lain cikit kot...tunggu part last ye...
Jangan ending nya - RUPANYA AKU BERMIMPI sudaahhh! Bakor benang ni kang.....
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga bulan berlalu lepas kunjungan aku ke hospital. Sejak hari tu, aku tidak lagi menziarah Amirah.Bukan apa, aku sebenarnya orang luar. Nanti dia sedar, dia mana nak kenal aku.Nanti dia tanya, takkan aku nak cakap aku jumpa dia dalam koma kot? Aku dah boleh terima hakikat yang apa yang aku lalui bersebab. Kenapa Allah nak aku jumpa Amirah dalam keadaan macam tu, aku masih mencari. Mungkin jumpa. Mungkin tak. Ah! Sudahlah. Malas aku nak fikir pasal dia. Awek bukan seorang. Boleh cari lagi. Em, aku ingat nak ajak Cik Muslihah kahwin la. Dia pun macam angau kat aku. Ceh! Perasan lebih!
Aku melepak dekat kedai makan di dataran. Mizi tak sampai-sampai lagi. Jam dah tunjuk pukul 5.30 petang. Kuliah habis lewat kot. Aku mula rasa bosan. Duduk seorang ni mula la nak layan blues.Ramai juga orang kat dataran ni. Awek pun ramai. Ada la seorang dua menjeling-jeling pada aku. Aku? Buat tak tahu je. Padahal ni dah semester akhirni. Calon isteri takde lagi. Lepas ni nak cari kerja pula. Mak kat kampung dah tanya-tanya pasal calon. Kalau takde, mak nak tanya pada Pak Mail ketua kampung. Nak merisik anak daranya untuk aku. Aduh mak… Amar tak kerja pun lagi.
Dari jauh aku nampak kelibat seorang gadis berbaju kurung merah jambu dan bertudung merah. Ye, gadis itu adalah Amirah. Ini kali ketiga aku nampak dia di dataran ni. Entah dia perasan aku atau tak. Dengar cerita lepas aku melawat dia 3 bulan lepas, malam tu dia terjaga dari koma. Bangun dari koma tak ingat sesiapa. Lepas tu ambil masa seminggu untuk ingat balik orang disekelilingnya. Dan 2 bulan lebih untuk betul-betul sihat macam sekarang. Tengok dia dah berisi sikit. Nampak segar bugar lagi. Senyum pun makin murah. Lesung pipitnya aku tak boleh nak lupa.Masih terletak elok kat situ. Yang bagusnya dia dah bertudung sekarang. Baju ketat seluar sendat dah tak nampak dah. Berbaju kurung je memanjang. Jauh dah berubahnya. Orang kata la.
Aku? Biarlah dia tak kenal akupun. Aku dah cukup bersyukur dah bila dia bangun dari koma. ‘Amirah’ yang aku jumpa semasa Amirah koma, sama sebiji dengan Amirah sekarang. Masa melawat dulu pun aku tak bagitahu mak ayah Amirah nama aku. Biarlah kenangan aku dan ‘Amirah’, jadi rahsia aku saja. Dan rahsia Mizi. Amirah berlalu di hadapan aku.Nampak dia rancak berbual dengan kawan sebelahnya. Aku sekadar memerhati. Mata kami bertemu tapi dia alihkan pandangannya kembali. Dia terus berlalu menandakan yang dia tak mengenali siapa aku. Aku menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan-lahan. Aku biarkan saja Amirah berlalu tanpa menoleh kepadanya. Sedikit rasa lega bercampur sedikit kecewa.
“assalamualaikum.”
“waalaikummussalam.” aku menoleh. Tergamam. Dihadapan aku Amirah. Aku jadi kalut. Cuba buat-buat selamber. Padahal jantung dah macam nak pecah! Amirah duduk di kerusi dihadapan aku. Antara kami dipisahkan dengan hanya sebuah meja. Dia tidak senyum.Tapi raut mukanya sentiasa manis. Dia merenung aku yang terpinga-pinga. Untuk beberapa saat yang pertama, tiada perbualan antara kami.
“awak kenal kita?” Amirah bertanya dan aku menggeleng berbohong.
“tapi kenapa kita rasa macam kenal awak ye?” Amirah bertanya lagi. Soalannya buat aku rasa sesak nafas. Dia nampak sedikit kecewa. Aku hanya mendiamkan diri.
“awak pernah datang melawat kita kat hospital?” dia bertanya lagi. Aku semakin sesak nafas. Sekali lagi aku menggeleng berbohong. Amirah mecebikkan bibir comelnya. Pandangannya dialihkan dari aku.
“ayah kata sebelum kita sedar,ada kawan datang melawat. Tapi ayah tak tanya pula namanya. Ayah kata dia bacakan surah Yasin untuk kita.” matanya menangkap mataku. Nafas aku terhenti sekejap.
“kalau ikut apa yang ayah cakap,ciri-ciri orang tu macam awak.” kali ini dia merenung tajam mata aku. Macam dah terkantoi je ni? Ke dia ni serkap jarang je? Peluh dah mula mercik kat dahi aku.
“orang lain kot.” aku menjawab ringkas. Kalau boleh nak pergi dari situ. Aku bukan sengaja nak berbohong, tapi dalam kepala ni tengah berfikir. Kalau dia tanya macam mana boleh kenal dia,apa aku nak jawab? Takkan nak cerita tentang ‘Amirah’ misteri yang aku jumpa tu? Mampus dia nak percaya.
“Er... kalau takde apa-apa, saya nak pergi dululah. Okay?” aku minta diri untuk beredar. Aku takut nak berada lama di situ. Aku segera bangun dari situ dan meninggalkan Amirah sendirian.Aku minta maaf Amirah! Bukan aku tak nak berterus terang, tapi aku takut kau tak boleh terima apa yang aku alami. Aku berjalan cepat-cepat. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Mesti Mizi telefon. Aku terus menjawab panggilan itu.
“Helo Mizi, aku balik dulu. Kita jumpa kat rumah okey.” kataku ringkas. Tapi suara Mizi tak pula aku dengar dari hujung telefon. Aku segera melihat paparan skrin pada telefonku. Nama ‘Gadis ku Amirah’ terpapar. Aku terkejut. Langkahku terhenti. Alamak!
Aku berpaling ke belakang dan Amirah betul-betul di hadapanku. Dia mengekori aku dari tadi dan aku tak perasan. Terasa lidah kelu dan kebas. Aku terpaku. Amirah di hadapan ku masam mencuka. Tapi masih comel!
“awak kata awak tak kenal kita.Tapi kenapa awak ada nombor telefon kita?” soalan maut Amirah mematikan akal ku. Aku tak tahu nak jawab apa. Silap sangat aku jawab telefon tadi. Lain kali check dulu.
“ada beratus mesej awak dalam telefon Amirah. Takkan awak tak kenal Amirah? Tapi kenapa hati ni kuat sangat kata yang Amirah kenal awak. Awak betul-betul tak kenal Amirah?” Kali ini Amirah bertegas. Aku dah terasa macam nak menangis.
Aku menarik nafas dalam-dalam.Cuba mencari kekuatan diri.
“hakikat yang awak perlu tahu,awak tak mengenali saya. Walaupun hati awak kuat mengatakan yang awak mengenali saya. Hati adalah satu perasaan bukan logik yang susah nak di gambarkan dengan kata-kata. Dan mana mungkin kita kenal satu sama lain kalau kita...”
“Amar.” tiba-tiba perkataan itu keluar dari bibirnya. Mematikan terus hujah aku. Sekali lagi aku terdiam ternganga. Tak terkata apa-apa. Hujah tadi dah jauh hilang dari ingatan aku.
“Nama awak Amar kan? Amirah tak silap. Amirah kenal Amar. Tapi Amirah tak tahu kat mana dan macam mana Amirah kenal Amar!”
Aku membisu.
“Amar... janganlah berdalih.Amirah betul-betul nak tahu ni. Ceritalah apa pun, Amirah akan percaya.” mata kami bertemu. Aku rasa aku sudah tak boleh mengelak lagi.
Mungkin peristiwa aku ada kaitan semasa Amirah koma sebelum ini. Hikmah yang aku cari selama ni. Dan aku taknak bersembunyi lagi. Jika cerita karut aku dia nak tahu. Aku sedia menceritakannya. Aku mengangguk perlahan. Amirah mengukir senyuman. Senyuman yang aku rindu sangat.
“macam mana saya nak cerita. Tak tahu nak mula dari mana.” aku mencipta alasan.
“mulakan dengan Bismillah...”
Aku terkesima dengan tutur kata Amirah. Dia sekadar tersenyum manis. Pandai budak ni bercakap. Mati terus ayat aku. Aku membalas senyuman Amirah. Allah bagi aku peluang ke dua untuk mengenali gadis di hadapan aku kini. Dan mana mungkin akan aku sia-siakan peluang ini.
“ayah jemput datang ke rumah.Ayah nak ucapkan terima kasih sebab datang melawat di hospital hari tu. Ayah pesan suruh cari Amar sampai dapat.” Amirah menukar tajuk perbualan. Dia ketawa sendiri. Barisan gignya yang putih memaniskan wajahnya.
“sampai suruh datang rumah?” aku kehairanan.
“ha... betullah yang Amar ada datang hospital hari tu kan?” Amirah serkap jarang dan aku masuk perangkap.Kali ni memang aku tak boleh lari dah. Amirah dah tergelak sebab berjaya kenakan aku. Aku hanya tersenyum. Malas dah nak berdolak dalih.
“bila ayah suruh?” aku bertanya kembali.
“malam ni jugak. Ayah dan mak buat kenduri kesyukuran. Boleh Amar makan malam sekali. Ye?” aku mengangguk.Tengok telatah Amirah buat aku terasa senang. Mungkin ini jodoh aku? Tapi entah kenapa aku jadi mesra dengan budak ni. Mungkin sebab dia peramah atau ada ikatan kimia antara aku dan dia?
“InsyaAllah Amar datang.” akumenjawab sepatah.
“jadi... bila boleh cerita?”Amirah bertanya. Kali ini dia sudah di sebelah aku. Kami berjalan beriringan ketempat letak kenderaan.
“Em... mungkin malam ni.”
Aku dan Amirah meninggalkan daratan UiTM. Walaupun dalam kepala aku masih ragu-ragu untuk bercerita, tapi melihat kesungguhan Amirah buat aku mengalah. Biarlah dia tahu dan menilai sendiri. Dan hari ni menjadi titik mula perkenalan aku dan Amirah. Titik mula pertama untuk Amirah dan titik mula kedua untuk aku. Banyak yang kami berbualkan sepanjang perjalanan itu. Amirah yang banyak berceloteh. Nampak tak kekok dan aku yang rasa janggal. Aku tersenyum sendiri. Allah makbulkan doa hambanya. Allah selamatkan Amirah dari koma dan Allah juga yang letak nama aku pada diri Amirah walaupun dia sebenarnya tak mengenali aku. InsyaAllah, Allah akan tolong dalam perjalanan selepas ini.
Dan petang itu berlalu dengan sebuah harapan.
TAMAT
p/s :
Mizi menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. ‘Mana Amar ni...’ hatinya berkata sendiri.
Kredit to : novemthewriter.wordpress.com
Last edited by akudansesuatu on 29-8-2013 11:12 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
dua2 cerita UITM Shah alam..
student situ eh.. |
|
|
|
|
|
|
|
stonez145 posted on 22-9-2013 01:43 PM
dua2 cerita UITM Shah alam..
student situ eh..
maybe...hehehe |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|